Karanganspm.com is a subwebsite for www.tipsexam.com and www.edunovice.com, we are leading provider for UPSR , PMR and SPM Karangan in Malaysia. Most of the Karangan here is written by dedicated teachers who would like to help students to achieve a better grade in their general examinations More »

Join us and become a Munsyi Bahasa ... 012-4594388

Karanganspm.com is a subwebsite for www.tipsexam.com and www.edunovice.com, we are leading provider for UPSR , PMR and SPM Karangan in Malaysia. Most of the Karangan here is written by dedicated teachers who would like to help students to achieve a better grade in their general examinations More »

Karanganspm.com is a leading provider for UPSR , PMR and SPM Karangan in Malaysia. We provide materials such as Komsas, Karangan UPSR, Karangan PMR, Karangan SPM, Karangan Peribahasa, Novel, Tatabahasa, Teknik Menulis, Teknik Membina Ayat KOMSAS More »

 

Pertarungan Tuah dengan Jebat

Baca petikan cerita di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan kata-kata anda sendiri.

Maka dilihat segala rakyat dalam negeri Melaka itu Laksanama dititahkan raja membunuh Si Jebat itu, maka kata orang banyak itu, “Marilah kita melihat temasya Laksamana dititahkan raja membunuh Si Jebat itu. Sekali ini baharulah Si Jebat beroleh lawan, sama berani dan sama tahu, kerana Laksamana pun banyak tahunya.” Maka kata seorang pula, “Si Jebat pun tahu banyak maka ia tiada dapat dilawan,” Maka kata seorang pula, “Apatah kita perbantahkan? Kita lihat sekarang; siapa mati siapa pula hidup pun bertentulah kerana Laksamana hulubalang besar; sudah ia bercakap Ke Bawah Duli Yang Dipertuan masakan ia kembali sahaja.”

Hatta dengan demikian maka Laksamana pun sampailah ke balai gendang. Maka Laksamana berhenti di balai gendang mendengar bunyi rebana itu terlalu ramai, Si Jebat makan minum dengan segala isi istana. Setelah dilihatnya hampir tengah hari, maka didengar oleh Laksamana bunyi rebana dan redap itu berhenti, hingga bunyi rebana kecil juga lagi bunyinya mengulit Si Jebat tidur. Maka Laksamana pun tahulah akan Si Jebat tidur itu. Maka Laksamana pun melihat ketika dan edaran. Setelah sudah sampai ketikanya maka Laksamana pun turun dari balai gendang itu lalu berjalan masuk ke dalam pagar lalu berdiri di tengah halaman istana itu.

(i)     Menerangkan maksud rangkai kata

Apakah maksud rangkai kata  di bawah berdasarkan petikan tersebut

beroleh lawan

sama berani dan sama tahu

terlalu ramai

melihat ketika dan edaran

[2 markah]

SKEMA JAWAPAN

- berhadapan dengan pihak lawan yang sama handal / hebat [2m]

- sama gagah serta sama mahir [2m]

– sangat kuat [2m]

- menanti waktu yang sesuai untuk bertindak [2m]

(ii)    Soalan Kontekstual

Apakah yang diperkatakan oleh orang ramai ketika Laksamana Hang Tuah datang untuk membunuh Hang Jebat?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

-  perihal pertarungan nyawa antara Tuah dengan Jebat [1m]

kedua-dua mereka merupakan pahlawan Melaka yang sama handal [1m]

ingin mengetahui siapa yang akan menang / siapa yang akan terbunuh [1m]

Apakah yang dilakukan oleh Hang Jebat ketika Laksamana Hang Tuah datang untuk membunuhnya?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

-   bertemasya / berpesta [1m]

menjamu selera bersama-sama seisi istana [1m]

-  tidur ditemani bunyi rebana [1m]

(iii) Soalan KBKK

Pada pendapat anda, wajarkah Laksamana Hang Tuah membunuh Hang Jebat yang merupakan rakan seperjuangannya? Berikan alasan anda.

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

-  wajar kerana Jebat telah menderhaka kepada Sultan Melaka [1m]

- mencerobohi istana [1m]

- berpesta dengan dayang-dayang [1m]

-telah banyak membunuh orang yang tidak berdosa [1m]

Seandainya anda Laksamana Hang Tuah, adakah anda akan membunuh Jebat atas perintah Sultan?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

-   tidak kerana Jebat menuntut bela atas ‘kematian’ saya / hendak menegakkan keadilan [1m]

- Jebat merupakan rakan seperjuangan dan rakan sepermainan saya sejak kecil [1m]

-Jebat telah banyak berjasa kepada negeri Melaka [1m]

Karangan Contoh Gred A

Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana

Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya

[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.

[Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.

[Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. [Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.

KARANGAN SAMPEL GRED A

PERHATIAN!!!

Sebarang karangan yang disiarkan adalah untuk rujukan pengajaran dan pembelajaran, bukan untuk tujuan komersial. Jika petik karangan ini untuk apa-apa tujuan, sila nyatakan sumbernya. Hargailah harta intelek seseorang.

Dimensi Antarabangsa/Global/Serantau

Malaysia sentiasa prihatin terhadap warga dunia yang ditimpa bencana. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa.

Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut.

Mayat bergelimpangan. Bangkai bertaburan. Harta benda musnah. Anak kebuluran. Demikianlah senario gara-gara bencana alam. Kehidupan nescaya akan menjadi sukar untuk mangsa-mangsa bencana alam seperti  ribut, banjir, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan sebagainya. Siapakah yang dapat membantu mereka? Malaysia boleh. Kita boleh menyumbangkan khidmat bantuan kebajikan dan kemanusiaan kepada mangsa malapetaka alam. Kita boleh memberikan maklumat dan menawarkan bantuan kepakaran dan teknikal dalam usaha membangunkan kawasan yang terbabit. Kita boleh melancarkan tabung kebajikan mangsa bencana di peringkat kebangsaan. Persoalannnya, mengapakah Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut?

Inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dunia dapat menjalin tali silaturahim dan ukhuwah dengan negara-negara yang terbabit. Apabila kita menyumbangkan apa-apa jua bantuan kepada negara yang dilanda musibah alam, sudah tentu tali persaudaraan dengan rakyat dan negara yang terbabit dapat dipererat. Ketika tsunami besar melanda negara-negara serantau pada tahun 2004, misalnya, Mercy Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan bantuan perubatan sukarela telah menghulurkan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Bantuan perubatan amat diperlukan dan dihargai kerana mangsa-mangsa bencana bukan sahaja mengalami kecederaan parah bahkan menghidap penyakit berjangkit. Bantuan berupa ini bukan setakat dapat meringankan penderitaan mereka malah tali ukhuwah terjalin dengan negara-negara yang terbabit, bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga.

Sebagai umat manusia yang berprihatin dan bertimbang rasa, sudah menjadi lumrah manusia untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pertolongan, terutamanya mangsa-mangsa bencana. Mungkin hari ini jiran kita, Indonesia, dilanda bencana alam letusan gunung berapi dan tsunami, mungkin esok Filipina dilanda ribut taufan, dan mungkin lusa kita pula ditimpa bencana tanah runtuh. Dengan erti kata lain, apabila kita senang dan makmur, kita tidak harus berpeluk tubuk menyaksikan kesengsaraan jiran-jiran kita kerana malang tidak berbau dan kemalangan tidak mengenal mangsanya  Seelok-eloknya, kita menyumbangkan apa-apa juga bantuan baik kewangan, makanan, perubatan mahupun teknikal kepada mana-mana negara yang dilanda musibah alam. Pendek kata, kejadian bencana alam mengundang keprihatinan rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tanpa mengira sempadan budaya, kaum, agama, mahupun negara, kita perlu menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Bahkan, keterlibatan dalam penyumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dapat meningkatkan imej kita sebagai negara yang makmur di persada antarabangsa. Kita berbangga dengan kemantapan siasah dan kemapanan iktisad yang sedang kita kecap. Kita mendabik dada dengan ahli sukan kita, terutamanya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David. Kita juga harus bermegah dengan kemampuan kita dalam usaha membantu rakan-rakan kita yang dilanda bencana alam di seantero dunia. Seandainya kita mampu menghulurkan bantuan kewangan, rawatan perubatan, ubat-ubatan, makanan, teknikal, kejuruteraan, dan sebagainya, sesungguhnya kita sudah berjaya dan maju dalam segala aspek kehidupan. Dengan kemampuan dan keprihatinan ini, kita dapat meraih keyakinan dan kehormatan bangsa-bangsa maju di empat pojok dunia. Dengan ini, rakyat asing tidak akan teragak-agak untuk melabur di negara kita kerana mereka akan berasa selamat dan bahagia di Bumi Malaysia. Kesannya, kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Sebagai intiha, sumbangan kepada mangsa-mangsa malapetaka alam tanpa mengira bangsa dan negara mencerminkan bahawa rakyat Malaysia berperikemanusiaan. Tidak kira negara yang ditimpa bencana alam itu kaya ataupun miskin, maju ataupun mundur, kawan atau musuh, jiran ataupun sahabat, kita patut menghulurkan tangan memberikan apa-apa jua bantuan agar kesengsaraan dan keazaban mangsa-mangsa bencana dapat dikurangkan. Kita memang mengharapkan kemakmuran dan kebahagiaan di dunia ini tetapi bencana alam adalah di luar kuasa manusia. Jadi, seandainya ditimpa apa-apa jua musibah, eloklah kita menyumbangkan bantuan sekadar yang dapat kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam menghadapi bencana alam, kita bersama-sama mengorak langkah mengurangkan impak musibah alam dan berganding bahu meredakan penderitaan mangsa-mangsa bencana. Dengan adanya perasaan kemanusiaan dalam kalangan manusia, kita dapat hidup bahagia dan harmoni di dunia ini.

KARANGAN CONTOH GRED A (26 – 30)

TOPIK/TEMA: PELESTARIAN / PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

FOKUS:  SEBAB / KEPENTINGAN / KEMASLAHATAN

[Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Hurain] Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!

STRATEGI MEMBINA KARANGAN

KRITERIA PENSKORAN

Cemerlang (26 – 30)

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaan tanda baca betul dan tepat. Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru. Penggunaan kosa kata luas dan tepat.
  • Wacananya lengkap. Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik (peribahasa, slogan, kata-kata ucapan)
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang.

DIMENSI WARISAN BANGSA: PERMAINAN TRADISIONAL

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang sebab-sebab permainan tradisional perlu dipertahankan. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

1.  PERENGGAN INTRODUKSI

[Tajuk karangan: Ayat Rangsangan] Sejak era nenek moyang lagi, permainan tradisional merupakan sebahagian kehidupan masyarakat Melayu. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Pelbagai jenis permainan yang beraneka ragam seperti galah panjang, wau, gasing, pelepah pinang, serak biji saga, dan sebagainya  masih dimainkan pada waktu senggang bersama-sama sanak saudara dan sahabat handai. [Pengembangan:Ayat Huraian 2] Permainan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. [Fokus karangan: Ayat Arahan] Sesungguhnya, terdapat beberapa sebab kita wajar mempertahankan ataupun melestarikan permainan tradisional kita.

2.  PERENGGAN ISI 1 (JENIS DEDUKTIF)

[Idea karangan: Ayat Judul] Tidak dapat dinafikan, permainan tradisional merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai. [Pengembangan:Ayat Huraian] Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba, pesawah dan nelayan mengisi masa yang terluang dengan kerja-kerja sampingan serta permainan rakyat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Pelbagai permainan tradisional dimainkan termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing, dan lain-lain. [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Oleh sebab budaya ini warisan budaya bangsa Malaysia, maka warisan ini sewajarnya dilestarikan.

3.  PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)

[Idea karangan: Ayat Judul]Selain itu, permainan tradisional dapat dijadikan sumber hiburan ataupun rekreasi kepada masyarakat. [Pengembangan: Ayat Huraian ]Hal ini demikian kerana permainan tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri, mudah dimainkan, menyeronokkan, dan menghiburkan. [Pengembangan: Ayat Contoh] Masa yang terluang seelok-eloknya dimanfaatkan oleh masyarakat kita untuk bermain gasing leper, bulu ayam, konda kondi, sepak raga, dan sebagainya yang bersifat sihat kerana tidak membobrokkan akhlak mahupun menimbulkan ketagihan.  [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Sebagai sumber hiburan yang sihat, maka permainan tradisional sewajarnya dipopularkan dan dipertahankan daripada lenyap ditelan zaman.

4.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Permainan tradisional juga dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menarik. [Pengembangan:Ayat Huraian]Pertunjukan permainan ini memang dapat menggamit pelancong-pelancong dari empat pojok dunia agar melancong sambil bersantai di negara kita yang kaya dengan keunikan budaya. [Pengembangan:Ayat Contoh]Melalui pelancongan inap desa (homestay), misalnya, tetamu asing kita bukan saja boleh dihidangi dengan permainan gasing pangkah dan wau bulan bahkan dapat menikmati keseronokan permainan. [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Pendek kata, permainan tradisional merupakan pemangkin perkembangan industri pelancongan kita.

5.  PERENGGAN INTIHA

[Rumusan: Ayat Kesimpulan] Sebagai akhirulkalam,  permainan rakyat yang berunsur tradisional banyak mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. [Ayat Pandangan ]Jadi, janganlah dibiarkan permainan ini berkubur begitu sahaja. [Ayat Cadangan]Sebagai pewarisnya, maka kita sewajarnya mempertahankan dan mempopularkannya kerana tak kenal, maka tak cinta. [Ayat Pendirian/Penegasan]Biar sebagus mana sekalipun permainan moden, permainan tradisional tidak patut sekali-kali dipinggirkan dalam kamus hidup kita.


STRATEGI MEMBINA KARANGAN

Dimensi Antarabangsa

KEPENTINGAN PELABURAN ASING

INTRODUKSI

Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi pelaburan langsung asing. Promosi dan penyelarasan pembangunan perindustrian dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Agensi ini bertindak sebagai titik permulaan perhubungan untuk para pelabur yang berhasrat mengadakan projek-projek dalam sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan di Malaysia. Demi menggamit para pelabur cenderung untuk menanam modal di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan terutama prasarana yang lengkap. Persoalannya, mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh mahu memastikan pelabur asing memilih Malaysia?

Kepentingan 1: Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan

Sebenarnya dengan adanya pelaburan asing, banyak peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan. Demi meningkatkan produktiviti, tenaga kerja rakyat yang mahir dan separuh mahir amat diperlukan walaupun teknologi moden digunakan. Dalam konteks Malaysia, belia lepasan sekolah memang mendahagakan pekerjaan untuk membaiki nasib diri dan keluarga. Golongan ini sedar, peluang bekerja di sektor awam amat terhad, ditambah lagi kelulusan setakat SPM, lalu kilang-kilang menjadi pilihan. Hal ini bermakna, kehadiran pelabur asing mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya mengurangkan gejala sosial yang dicetuskan oleh penganggur. Misalnya, peragut beraja di mata, bersultan di hati kerana tiada sumber pendapatan yang halal. Dengan kata-kata lain, dengan hadirnya pelabur-pelabur asing, pekerjaan menanti belia, bukan belia menanti pekerjaan.

Kepentingan 2: Nadi penggerak pembangunan dari segi infrastruktur

Dari perspektif pembangunan negara, pelaburan asing merupakan nadi penggerak ke arah kemajuan negara dalam pelbagai sektor. Kemudahan asas yang sempurna merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan perindustrian. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan elektrik dan air, di samping sistem pengangkutan yang baik demi menarik dan menjayakan projek pelaburan asing. Hal ini demikian kerana negara kita perlu mempunyai iklim pelaburan yang kondusif demi menggamit pelabur-pelabur dari seantero dunia. Pelabur-pelabur asing sendiri pula akan menyediakan kemudahan rekreasi dan tempat kediaman untuk para pekerja. Penyediaan perhidmatan sosial ini akan meninggikan taraf hidup sosial rakyat negara ini. Contohnya, Jalan Sultan Azlan Shah telah dibina untuk memudahkan haluan kilang-kilang di Bayan Lepas dan Bayan Baru di Pulau Pinang. Pendek kata, pelaburan asing merupakan pemangkin pembangunan negara.

Kepentingan 3: Pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran

Bahkan, pelaburan asing membolehkan pemindahan teknologi moden serta kepakaran ke negara kita yang sedang membangun dengan pesatnya. Tidak dapat dinafikan bahawa penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi canggih menelan ongkos yang tinggi. Sehubungan dengan ini, Malaysia masih kekurangan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan penyelidikan demi mencapai teknologi moden. Masalah ini merupakan satu penghalang yang mengekang kemajuan sektor perindustrian, pendidikan, perubatan, pertanian, dan sebagainya. Melalui pelaburan asing, pelabur-pelabur asing akan membawa bersama teknologi dan sistem pengurusan moden serta tenaga profesional yang pakar dan produktif. Mereka juga akan melaksanakan pelbagai program untuk melatih buruh tempatan demi mengembangkan pengetahuan kepakaran agar pekerja-pekerja tempatan dapat diserapkan dalam projek pelaburan mereka. Contohnya, projek mencari gali minyak di Terengganu memerlukan teknologi yang canggih dan guna tenaga yang mahir. Tegasnya, pelabur asing menggalakkan pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran ke negara kita.

Kepentingan 4: Menambah pendapatan negara

Dalam pada itu, pendapatan negara akan bertambah melalui pelaburan asing. Pengaliran wang ke luar negara akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang rendah. Kemudian, bahan mentah ini diproses menjadi barangan siap dan dijual semula ke negara ini dengan harga yang lebih tinggi. Kemasukan pelaburan asing membolehkan modal yang banyak dan kepakaran disalurkan ke kilang-kilang perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan boleh diproses oleh kilang-kilang di negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah tempatan lebih terjamin, di samping menyumbangkan pendapatan kepada negara dari segi cukai. Malah, sumber kewangan dalam projek-projek pelaburan asing itu merupakan modal pelaburan yang tidak perlu dibayar balik. Dalam usaha mengatasi kemelesetan ekonomi dan memajukan taraf kehidupan rakyat, pihak kerajaan banyak meminjam daripada intitusi kewangan asing sehingga menyebabkan hutang negara mencapai 45 billion ringgit pada tahun 2009. Maka melalui pelaburan asing, kerajaan tidak perlu meminjam dan berhutang keliling pinggang.

Intiha

Deduksinya, kepentingan dan sumbangan pelabur asing kepada negara kita tidak ternilai. Jadi, langkah-langkah proaktif, konstruktif dan pragmatik perlulah diambil agar negara kita menjadi pilihan utama di rantau ini. Dalam hal ini, kita perlu sensitif dan peka akan kehendak dan cita rasa mereka dengan melonggarkan dasar ekuiti asing untuk sektor perkilangan, seperti pelabur asing sekarang boleh memegang 100% ekuiti tanpa mengambil kira tahap eksport. Selain itu, birokrasi dalam pelaburan asing perlulah dipermudah agar tidak menyusahkan para pelabur asing, di samping membanteras gejala rasuah atau tumbuk rusuk sehingga akar umbinya. Iklim siasah yang mantap yang kita kecap sekarang juga haruslah dipelihara. Dengan adanya pengaliran masuk modal, teknologi canggih, pendapatan, dan sebagainnya tidak mustahil bagi kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di rantau ini. Seterusnya, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi realiti, bukannya angan-angan kosong.

KERTAS RAMALAN BMSPM 2010

BAHASA MELAYU

KERTAS 1

 

Bahagian A

 

[30 markah]

[Masa dicadangkan: 45 minit]

 

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang sebab-sebab permainan tradisional perlu dipertahankan. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Bahagian B

 

[100 markah]

[Masa dicadangkan: 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

BAHASA MELAYU

KERTAS 2

 

Soalan 1: Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kekangan masyarakat untuk menderma organ dan usaha untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kesedaran dalam kalangan masyarakat kita mengenai kepentingan menderma organ masih berada pada peringkat yang amat rendah. Walaupun penderma dibenarkan oleh kebanyakan agama termasuk Islam, tetapi masih ramai yang berasa ragu untuk berbuat demikian kerana belum ada ahli masyarakat di sekeliling mereka yang sudah berderma untuk dijadikan model. Malah, mereka tidak sanggup berderma bukan sahaja kepada ahli masyarakat yang lain tetapi juga kepada ahli keluarga sendiri disebabkan bimbang akan mendatangkan kemudaratan serta kecacatan pada jenazah dan dirinya. Selain itu, banyak persoalan yang berkaitan dengan etika dan hukum agama juga ditimbulkan berhubung dengan perkara ini. Antaranya, pembedahan pemindahan organ merupakan perbuatan menyeksa jenazah atau menyebabkan jenazah itu tidak dapat dikebumikan dalam keadaan yang sempurna.

Pada mereka, pemindahan dan pendermaan organ haram di sisi agama Islam. Walhal, hukum mengenai pemindahan organ ini telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan. Jadi, isu mengenai pemindahan organ ini tidak seharusnya berbangkit dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana pemindahan dan pendermaan organ diharuskan dalam Islam bagi membantu menyelamatkan manusia yang lain serta mengurangkan penderitaan yang dialami oleh seseorang insan berikutan penyakit yang dihidap. Pemindahan organ ini sebenarnya pernah dilakukan oleh pakar perubatan Islam pada masa silam. Yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan mencacatkan tubuh badan manusia untuk tujuan suka-suka ataupun untuk kecantikan diri.

Dalam konteks perubatan, pemindahan organ dibuat bukan bertujuan untuk mencacatkan anggota tubuh, jauh sekali untuk  mencabuli kehormatan jenazah, tetapi merupakan satu kaedah perawatan terhadap penyakit yang berbahaya. Orang ramai sedar bahawa pemindahan organ tidak dilakukan secara sembarangan, sebaliknya dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada diri, waris, atau keluarga si mati, mengikut peruntukan undang-undang, tetapi masalahnya ialah masyarakat tiada keinginan membantu orang lain dengan mengorbankan sedikit keselesaan diri. Kita tidak dapat menafikan bahawa faktor budaya menjadi penghalang untuk masyarakat menderma organ. Sejak kecil lagi, kita dididik menderma wang ringgit, masa dan tenaga, tetapi kita tidak pernah diajar untuk menderma organ.

Bagi mereka yang berfikiran terbuka, memang ada keinginan untuk menderma organ, tetapi ada sahaja yang menghalang seperti ahli keluarga. Jikalau rakan yang menghalang tidak mengapa, tetapi jika bantahan daripada ibu, sudah tentu kita tidak sanggup ingkar. Dalam sesetengah kes, ada yang sudah sanggup untuk berderma, tetapi disebabkan rakan-rakan menakut-nakutkan dengan mengatakan tubuh tidak lagi mampu berfungsi seperti sedia kala menyebabkan keinginan itu terbantut. Proses mengharapkan orang ramai agar sanggup menderma organ mengambil masa yang lama. Setakat ini, kempen yang terlalu sedikit menyebabkan orang ramai tidak mendapat gambaran yang sebenar. Untuk tahun-tahun mendatang, diyakini akan lebih banyak orang yang mempunyai hati mulia seperti Wan Hafizah yang sanggup menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tiada pertalian darah dengannya.

[Diubahsuaikan daripada rencana, Pendermaan Organ:

Antara Hambatan Agama dan Tuntutan Kemanusiaan, Dewan Masyarakat]

Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2(a) – Petikan Umum

 

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)   Apakah maksud rangkai kata mencabuli kehormatan jenazah?

[2 markah]

(ii)  Mengapakah isu mengenai pemindahan dan pendermaan organ ini tidak seharusnya

dipertikaikan?

[3 markah]

(iii)   Pada pendapat anda, siapakah yang harus memainkan peranan untuk mendorong orang

ramai agar menderma organ?

[4 markah]

Soalan 2(b) – Petikan Drama

 

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)   Nyatakan kejadian aneh yang berlaku dalam hujan ribut itu.

[2 markah]

(ii)   Pada pendapat anda, mengapakah ayahanda dan bonda melarang keras keinginan Tuk Mah

untuk menyertai Peran?

[3 markah]

(iii) Jelaskan satu persoalan daripada petikan di atas dan satu persoalan lain daripada keseluruhan

drama.

[4 markah]

Soalan 2(c) – Petikan Klasik

 

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

Maka Laksamana pun lelah terdiri di atas talam itu. Maka Hang Jebat pun berbangkit lalu berdiri. Maka kata Hang Jebat, “Hai Laksamana, apa perimu akan membunuh aku? “Maka, Laksamana pun berkata, “Hai Si Jebat, bahawa tiada dengan kuasaku membunuh engkau; bahawa Tuhanku yang maha amat kuasa membunuh engkau! Insya-Allah Taala mati juga engkau dalam tanganku. “Maka kata Hang Jebat. “Hai Laksamana, sungguh-sungguh rupanya engkau hendak membunuh aku!” Maka kata Laksamana, “Mengapatah maka tiada sungguh? Jika tiada engkau mati olehku, aku mati olehmu, maka sudahlah pekerjaan ini.” Maka Hang Jebat pun memekis, katanya, “Cih! Si Jebat dengan Si Tuah hulubalang raja Melaka mati tiada berguna! Jika Si Jebat dengan Si Tuah gerangan dititahkan raja Melaka menyerang negeri orang, aku dua orang pun alah. “Maka kata Laksamana, “Sungguh seperti katamu itu; pada hatiku pun demikianlah. Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipunya dayaku pun kuperlepaskan juga engkau daripada mati.” Maka Hang Jebat pun menangis mendengar kata Laksamana demikian itu. Maka Laksamana pun menangis kasihan hatinya akan Hang Jebat. Maka kata Hang Jebat, “Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh Bendahara tiada dengan dosanya; sebab itulah maka sakit hatiku. Akan istimewa aku pula orang permainan tiada akan dibunuhnya, kerana raja itu membunuh tiada dengan periksanya. Pada bicara hatiku, sedang engkau banyak kebaktianmu dan jasamu lagi dibunuh oleh raja, istimewa aku pula. Sebab pun kuperbuat demikian ini, sepala-pala nama jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya; maka sempurnalah nama derhaka dan nama jahat.”

[Dipetik daripada Pertarugan Tuah dengan Jebat,

Dalam Antologi Anak Laut, DBP]

(i)   Apakah maksud rangkai kata sepala-pala nama jahat jangan kepalang berdasarkan petikan

di atas?

[2 markah]

(ii)  Mengapakah Hang Jebat menderhaka kepada sultan?

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Hang Jebat bertindak menentang pemerintah? Mengapa?

[3 markah]

Soalan 2(d) – Petikan Klasik

Baca petikan sajak di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.