Category Archives: Karangan PT3

STRATEGI MEMBINA KARANGAN GRED A ( Membership )

Tajuk / tema karangan: Kehidupan Bermasyarakat

Fokus karangan: Kepentingan / kebaikan

Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)

1.  PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN

[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

2.  PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat  lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

3.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini,  masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat ContohDalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

3.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

5.  PERENGGAN INTIHA

[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.[Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa.

Karangan Contoh Gred A

Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana

Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya

[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.

[Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.

[Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. [Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.

Fokus Karangan PMR


TAJUK KARANGAN: ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB KITA

FOKUS KARANGAN: CARA-CARA MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

FORMAT KARANGAN: SYARAHAN (SITUASI PERTANDINGAN)

[Ayat Format: Kata Alu-aluan] Yang Dihormati Tuan Pengerusi, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Bukit Hijau, Encik Zainuddin bin Hj. Arshad, Guru Penasihat Kelab Rekreasi dan Alam Sekitar, Encik Kamaruddin bin Che Din, para hakim yang adil saksama, guru-guru, dan rakan pelajar.  Selamat pagi dan salam sejahtera.

[Ayat Format: Tajuk syarahan] Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, maka tajuk syarahan saya ialah ‘Alam Sekitar Tanggunjawab Kita’. [Ayat Rangsangan: Tajuk karangan] Tajuk ini amat sesuai untuk direnungi bersama memandangkan alam sekitar kita sedang menghadapi tahap pencemaran yang amat serius. [Ayat Huraian: Pandangan] Kita sedang mengalami suatu fenomena yang dikenali sebagai pemanasan global atau kesan rumah hijau. Saya pasti bahawa para hadirin turut mengalami dampaknya. Mungkin para hadirin akan tertanya-tanya prihatinkah manusia terhadap alam sekitar? [Ayat Arahan:Fokus karangan] Jadi, apakah yang patut kita lakukan? Bolehkah kita memainkan peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar kita yang sudah tercemar ini?

Hadirin yang saya hormati,

[Ayat Topik: Idea karangan] Tanggungjawab perdana kita ialah menyahut seruan kerajaan dengan mengamalkan program kitar semula. [Ayat Huraian] Usahlah bebankan tanggungjawab pelestarian alam sekitar di pundak kerajaan semata-mata. Kita haruslah mengikis persepsi ini daripada kamus hidup kita dengan menjadi rakyat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. [Ayat Contoh] Kumpulkan dan asingkanlah bahan-bahan buangan ataupun terpakai di rumah. Bungkuslah barang-barang yang dapat dipergunakan ataupun dikitar semula seperti botol plastik, surat khabar lama, dan tin aluminium, secara berasingan . Kemudian, hantarlah barang-barang ini ke pusat kitar semula yang berhampiran. Jadikanlah aktiviti ini aktiviti keluarga bulanan. [Ayat Penyimpul: Kesan] Saya pasti, keceriaan alam sekitar dan keharmonian hidup kita terjamin!

[Ayat Topik] Seterusnya, pembakaran sampah sarap secara terbuka hendaklah kita elakkan. [Ayat Huraian] Kegiatan ini tidak sihat kerana bukan sahaja mencemari alam sekitar malah memudaratkan kesihatan manusia. Sudikah kita hidup di Bumi yang diselubungi jerebu? Jadi, marilah kita menjadi penghuni Bumi yang lebih bertanggungjawab. [Ayat Contoh] Usahlah bakar daun-daun kering, sampah, ataupun tayar buruk sewenang-wenang; kononnya hendak membasmi nyamuk aedes. Sebaliknya, buanglah sampah sarap ke dalam tong sampah secara sistematik. Pekerja majlis perbandaran akan memungut sampah sarap ke tapak pelupusan sampah. [Ayat Penyimpul: Kesan] Dengan ini, kebersihan alam sekitar dan kesihatan kita nescaya terpelihara!

[Ayat Topik] Satu langkah mudah yang dapat kita lakukan ialah penjimatan elektrik. [Ayat Huraian] Penggunaan elektrik secara membazir bukan sahaja meningkatkan kos kehidupan bahkan mencemari alam sekitar. Jika kita menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, kita dapat mengurangkan pembakaran bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik di stesen jana kuasa elektrik. Jadi, amalkanlah langkah jimat cermat. [Ayat Contoh] Misalnya, tutuplah suis lampu, kipas, alat pendingin udara, dan sebagainya apabila tidak diperlukan. Amalkanlah penjimatan elektrik di rumah dan di sekolah. [Ayat Penyimpul] Kesannya, bukan sahaja sumber alam semula jadi dapat dijimatkan bahkan Bumi kita dapat diselamatkan.

Hadirin yang saya harmati,

[Ayat Kesimpulan] Sebagai akhirulkalam syarahan saya pada pagi ini, saya ingin mengingatkan semua warga dewan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama. [Ayat Cadangan: Nasihat] Umat manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka, manusia tidak sepatutnya bertindak beraja di mata, bersultan di hati terhadap alam sekitar. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk menyelamatkan Bumi kita dari sekarang juga. Biarpun kecil, sumbangan ini amat bermakna. [Ayat Harapan] Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, renungilah serangkap sajak daripada saya yang berbunyi:

Ini laut kita, lindungilah daripada pencemaran,

ini hutan kita, lindungilah daripada pemusnahan,

ini sungai kita, lindungilah daripada pembuangan,

ini Bumi kita, lindungilah daripada penodaan.

[Ayat Format] Sekian, terima kasih.

Disumbangkan oleh Cikgu Khairul bin Junid (Guru Cemerang)

KARANGAN CONTOH BAHAN RANGSANGAN

Tajuk karangan: Gejala lepak

Fokus karangan: Kesan-kesannya

[Ayat Rangsangan] Dewasa ini, gejala lepak meniti bibir dalam kalangan masyarakat. [Ayat Arahan] Gejala ini mendatangkan dampak negatif kepada kaum remaja.

[Ayat Topik 1] Gejala lepak memang membuang masa remaja. [Ayat Huraian] Mereka hanya berborak-borak kosong di tepi jalan raya ataupun di kompleks beli-belah. [Ayat Topik 2] Implikasinya, pelajaran mereka terjejas. [Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana mereka mengabaikan kerja rumah dan tidak menelaah pelajaran. [Ayat Topik 3] Selain itu, masalah sosial semakin meruncing. [Ayat Huraian] Rata-rata kaki lepak terbabit dalam jenayah seperti vandalisme dan gengsterisme. [Ayat Topik 4] Natijahnya, imej negara tercemar. [Ayat Huraian] Hal ini menjejaskan industri pelancongan kita kerana keselamatan mereka terancam.

[Ayat Cadangan] Oleh itu, gejala lepak ini hendaklah dibendung. [Ayat Harapan] Dengan ini, masa depan generasi muda dan negara terjamin.

Disumbangkan oleh Cikgu Nordin bin Hj. Ghazali

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.

KARANGAN JENIS PERBINCANGAN

Tajuk karangan: Amalan berjimat cermat

 

Fokus karangan: Cara-cara ibu bapa memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak

[Ayat Rangsangan] Amalan berjimat cermat memang menjadi agenda perdana dalam kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Malangnya, anak-anak remaja bersikap membazir dan memboros dari segi perbelanjaan serta penggunaan air dan elektrik. Mereka seolah-olah tidak menghargai nilai wang dan sumber alam. Dalam konteks ini, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat Arahan] Persoalannya, bagaimanakah ibu bapa boleh melahirkan anak yang menghayati amalan berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan?

[Ayat Topik 1] Antara langkah perdana dalam pemupukan amalan berjimat cermat dalam kalangan anak ialah ibu bapa perlu menjadi anjakan paradigma kepada anak mereka. [Ayat huraian] Mereka harus menjadi cermin perbandingan yang positif kepada anak-anak dalam segala aspek kehidupan kerana bapa borek anak rintik! [Ayat Contoh] Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, setiap tindak-tanduk ataupun gerak-geri ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Misalnya, jika ayah bertelefon bimbit berjenama Nokia N95, anak lelaki pula hendak memiliki Nokia N97; jika ibu senantiasa tidak menutup pili air selepas menggunakannya, maka anak gadis pula akan senantiasa tidak menutup suis lampu. [Ayat Penyimpul] Jadi, ibu bapa haruslah menjadi contoh teladan yang sihat kepada anak.

[Ayat Topik 2] Selain menjadi modal insan yang ideal, ibu bapa perlu mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana sikap boros tidak relevan lagi dalam kehidupan kita dalam zaman kegawatan ekonomi ini kerana mengundang musibah, iaitu kemiskinan dan kesengsaraan. [Ayat Contoh] Kita sering terdengar cerita seorang ayah berumah banglo dan berkereta mewah dahulu, tetapi sekarang berkain basah kering di pinggang. Kita bukan tidak boleh berkereta ataupun berumah, tetapi apa gunanya berkereta mewah dan berrumah banglo.  [Ayat Penyimpul] Pendek kata, anak-anak kita tidak akan mengamalkan sikap kesederhaan selagi ibu bapa mengagung-agungkan kemewahan.

[Ayat Topik 3] Ibu bapa juga perlu mengamalkan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam penerapan amalan berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat huraian] Dalam hal ini, ibu bapa perlu menekankan kepentingan 3R dalam usaha mencermatkan perbelanjaan dengan melibatkan semua ahli keluarga. [Ayat Contoh] Misalnya, anak-anak perlu dididik agar mengurangkan penggunaan air, tenaga elektrik, kertas tulisan, ubat gigi, syampu, pencuci muka, dan sebagainya. Selain itu, barang-barang terpakai seperti bekas air, beg sekolah, kasut dan sebagainya perlulah digunakan semula. Barang-barang yang tidak berguna pula dihantar ke pusat kitar semula.  [Ayat Penyimpul] Tegasnya, konsep  3R ini dapat memupuk tabiat berjimat cermat dalam kehidupan anak.

[Ayat Kesimpulan] Intihanya, kepentingan peranan ibu bapa dalam melahirkan anak yang berjimat cermat dalam kehidupan tidak dapat dinafikan. [Ayat Pandangan] Sesungguhnya, tabiat lama, yakni pembaziran dan pemborosan, sukar dikikis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, ibu bapa perlu menonjolkan kesungguhan, kezaman, dan keiltizaman melalui teladan dan mengamalkannya sehingga konsep berjimat cermat ini menjadi sebahagian hidup kita. Pedoman orang tua-tua  “cermat masa banyak, jimat masa sedikit” dan “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” pula hendaklah dijadikan petunjuk dalam kehidupan kita . [Ayat Harapan] Dengan ini, seisi keluarga dapat mencegap nikmat kebahagiaan, keharmonian dan kemakmuran.

Disumbangkan oleh Cikgu Mansor bin Tajuddin

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.

KARANGAN CONTOH GRED A

Tajuk karangan: Destinasi pelancongan bersejarah

Format karangan: Surat kiriman tidak rasmi

7, Jalan Nirvana,

Taman Nirvana,

71000 Melaka.

18 JULAI 2010.

Menemui sahabatku Dayang yang kini berada di Burnei, semoga sihat sentiasa. Saya sekeluarga di sini berada dalam keadaan sihat wal afiat.

Saudari,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana sudi menulis surat kepada saya tempoh hari. Saya kagum akan keistimewaan negara saudari. Dalam warkah saudari yang lepas, saudari ingin mengetahui keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Dalam warkah saya ini, saya akan menceritakan sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan nilai sejarah.

Salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal sebagai tempat bersejarah ialah negeri Melaka. Dengan kata lain, bagi mereka yang ingin menghayati tempat-tempat yang penuh dengan nilai sejarah, Melaka merupakan destinasi yang paling ideal. Selain sebagai tempat yang bersejarah, Melaka juga tersohor sebagai negeri yang kaya dengan tempat pelancongan, pusat beli-belah, dan rekreasi.

Saudari,

Melaka sememangnya kaya dengan kesan sejarahnya yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 5 kurun yang lalu bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, dan era Kolonial Inggeris. Berhampiran dengan muara Sungai Melaka, medan bandar yang indah dengan bangunan-bangunan peninggalan Belanda yang berwarna merah dapat kita lihat. Di sini terdapat sebuah bangunan yang dahulunya pernah didiami oleh Gabenor Belanda, iaitu bangunan Stadhuys, yang telah dibina pada tahun 1650. Tidak jauh dari situ, kita akan melihat sebuah gereja yang besar, iaitu Christ Church, yang telah dibina pada tahun 1793. Gereja ini merupakan sebuah gereja Protestan yang tertua di Malaysia. Di kawasan medan ini juga, para pelancong dapat melihat sebuah menara jam yang bersejarah pada abad yang ke-19 dan sebuah Pancutan Air Ratu Victoria yang menarik ciptaannya.

Selain Gereja Christ Church, terdapat sebuah gereja lagi di Jalan Laksamana, iaitu Gereja St. Francis Xavier yang telah dibina pada tahun 1849. Manakala di atas Bukit St.Paul pula tersergam indah Gereja St. Paul. Di pekarangan gereja ini, para pengunjung dapat melihat sebuah boneka untuk memperingati St. Xavier dan kuburnya yang kosong. Di kaki bukit ini jelas dapat dilihat peninggalan pintu gerbang terakhir kubu Portugis yang kuat, iaitu A Famosa yang telah dibina pada pertengahan abad ke-16. Tidak jauh dari pintu gerbang ini, sebuah istana lama telah dibina semula berdasarkan istana Sultan Mansor Shah. Berhampiran dengan istana ini juga tersergam indah sebuah bangunan lama yang dinamakan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang dijadikan sebuah muzium untuk memperingati sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Saudari,

Untuk pengetahuan saudari, tempat-tempat pelancongan yang lain yang mesti dikunjungi para pelancong termasuklah Bukit China, Dataran Belanda, Jonker Street, Melaka Street, Muzium Maritim Melaka, Taman Mini Malaysia, Masjid Pulau Melaka, Seri Malaysia Melaka, dan sebagainya. Di samping itu, negeri Melaka kaya dengan makanan tradisional, kebudayaan, dan perayaan keagamaan.

Jadi, saya berharap bahawa jika saudari ingin menghayati keisitimewaan destinasi pelancongan ini, bolehlah datang sendiri ke negeri ini.  Sebagai sahabat yang setia, saya mengalu-alukan kedatangan saudari dengan tangan terbuka. Luangkanlah sedikit masa dan kunjungilah negeri Melaka Bandar Bersejarah ini. Kata orang tua-tua, “Jauh perjalanan luas pemandangan!”.

Sampai di sini sahaja coretan saya buat saudari di sana. Dalam warkah ini, telah saya sertakan beberapa keping gambar tempat-tempat bersejarah. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam lembaran yang akan datang.

Sahabatmu,

Wahida

Disumbangkan oleh Cikgu Wahida binti Che’ Din

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, jika nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.