Category Archives: Karangan SPM
Masalah Kemalangan Jalan Raya
Selamat dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan, serta para pelatih yang saya kasihi sekalian. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan pada pagi ini. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengusaha Pusat Latihan Memandu Seri Mawar kerana mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan di jalan raya. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menggunakan kesempatan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Punca dan Cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya”.
Kesan Pemanasan Global (Karangan Pelajar Contoh)
KESAN PEMANASAN GLOBAL
Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.
Disiplin Asas Kejayaan
BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA KEPADA MANGSA BENCANA ALAM
Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan keranaberat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban.
Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.
Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.
Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.
Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.
Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.
Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaranbuat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.
SUMBER: CIKGU ANELYZA
STRATEGI MEMBINA KARANGAN GRED A ( Membership )
Tajuk / tema karangan: Kehidupan Bermasyarakat
Fokus karangan: Kepentingan / kebaikan
Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)
1. PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN
[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.
2. PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.
3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini, masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat ContohDalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.
3. PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.
5. PERENGGAN INTIHA
[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.[Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa.
Karangan Contoh Gred A
Tajuk / Tema Karangan: Industri Kecil dan Sederhana
Fokus karangan: Langkah-langkah merancakkannya
[Ayat Rangsangan]Dewasa ini, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. [Ayat Huraian 1]IKS ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. [Ayat Huraian 2]Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang usaha niaga berbentuk IKS yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. [Ayat Huraian 3]IKS menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap. [Ayat Arahan]Demi merancakkan IKS, kerajaan telah mengatur beberapa banyak langkah yang konstruktif dan pragmatik.
[Ayat Judul]Salah satu langkah perdana yang diambil oleh kerajaan ialah penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada para pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Bantuan ini dapat mendorong para pengusaha yang mengusahakan perniagaan IKS berasaskan pertanian, perikanan, perternakan, pemprosesan makanan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 1]Antara geran dan insentif yang disediakan kepada pengusaha IKS termasuklah skim kewangan, skim geran penyelidikan dan pembangunan, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Kemudahan pinjaman yang disediakan pula melalui institusi kewangan kerajaan, seperti Bank Pertanian dan Bank Simpanan Nasional, bank komersial seperti Bank Rakyat dan Bank CIMB, serta syarikat kewangan. [Pengembangan:Ayat Huraian 2 ]Melalui Skim Khas Bank Negara, Bank Negara telah menubuhkan Unit Khas Enterpris Kecil dan Sederhana yang bertujuan membantu perusahaan IKS yang berdaya maju untuk memperoleh pembiayaan. [Ayat Penyimpul]Dengan adanya bantuan dan sokongan kerajaan, IKS nescaya dapat berkembang maju.
[Ayat Judul]Dalam pada itu, khidmat nasihat dan perundingan kepakaran turut disediakan oleh pihak kerajaan. [Pengembangan:Ayat Huraian 1]Usahawan dan pelabur yang ingin akan maklumat atau pendedahan lanjut mengenai IKS boleh mendapatkan khidmat nasihat yang disediakan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan yang lain. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Para pengusaha memang memerlukan khidmat nasihat dan sokongan teknikal dalam usaha melicinkan operasi IKS agar lebih produktif, dinamik, berdaya maju, dan kos efektif, di samping meningkatkan daya pengeluaran dan kualiti produk, serta pemasaran global. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antara agensi yang terlibat dalam khidmat nasihat dan bantuan teknikal termasuklah MARA (skim khidmat pakar perunding MARA), UKM Pakar Runding Sdn. Bhd., dan Persatuan IKS Malaysia. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Tanpa khidmat nasihat dan perundingan kepakaran, pengusaha-pengusaha yang mentah dalam selok-belok pengurusan IKS ataupun baru menceburi bidang ini akan menghadapi pelbagai rintangan. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, pihak kerajaan berprakarsa dan beriltizam membantu para usahawan untuk membangunkan IKS dan melipatgandakan perolehan.
[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepada usahawan dan pelabur yang cenderung mengusahakan aktiviti IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 1] Dalam konteks ini, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) merupakan agensi kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan IKS. [Pengembangan:Ayat Huraian 2]Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan dengan pembangunan industri, agensi ini menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS. [Pengembangan:Ayat Contoh]Antaranya termasuklah program rantaian industri, program pembekal global, program peningkatan kemahiran, dan sebagainya. [Pengembangan:Ayat Huraian 3]Bahkan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan, membimbing dan melatih penduduk Bumiputera, khususnya di luar bandar, supaya menyertai kegiatan perdagangan dan perusahaan. [Pengembangan:Ayat Contoh 2]Antara program yang ditawarkan ialah latihan keusahawanan, skim latihan perintisan, dan program promosi pemasaran. [Ayat Penyimpul]Melalui agensi-agensi kerajaan, IKS berdaya maju dan menyumbang kepada iktisad negara.
[Ayat Kesimpulan]Secara tuntasnya, kerajaan memainkan peranan yang mustahak dalam memajukan dan merancakkan IKS. [Ayat Peniaian]Hal ini demikian kerana pertumbuhan pesat sektor perkilangan memperlihatkan kepentingan dan peranan IKS yang kian ketara. [Ayat Penilaian]Penglibatan IKS dalam pelbagai jenis aktiviti perkilangan menjadi penggerak dan tulang belakang kepada pertumbuhan sektor perkilangan amnya. [Ayat Penilaian]Kesedaran pelbagai pihak tentang keperluan dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. [Ayat Cadangan]Selaras dengan ini, pelbagai pihak telah mula menyedari bahawa salah satu langkah penting dalam mencapai hasrat ini adalah melalui bantuan dan sokongan kepada pembangunan IKS. Jadi, pihak-pihak yang terbabit dalam sektor ini haruslah meneroka dan merintis bidang-bidang IKS baru dengan menghadiri ekspo-ekspo perindustrian di luar negara. [Ayat Harapan]Dengan wujudnya inisiatif dan iltizam, IKS bukan sahaja berdaya maju bahkan menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus merealisasikan Wawasan 2020.
Genre Cerpen/Drama dalam KOMSAS
Salam 1Malaysia.
Satu lagi genre yang cukup penting dalam KOMSAS ialah genre cerpen/drama. Usahlah asyik berjinak-jinak dengan subjek Kimia, Biologi, Fizik, dan sebagainya sehingga mata pelajaran BM dianaktirikan. Cikgu bimbang kalau-kalau anda beroleh A+ untuk semua subjek, kecuali BMSPM. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.
Soalan ini terbahagi kepada tiga ceraian:
Soalan (i): Kontekstual (pemahaman teks / maksud rangkai kata), misalnya:
- Apakah pengalaman-pengalaman hidup Mek Bongsu setelah berkahwin dengan Saudagar Syah Alam [3 markah]
Skema Jawapan:
- menikmati kemewahan dan kesenangan [1m]
- tidak menghiraukan kehidupan masyarakat di luar [1m]
- menyesali sikapnya yang leka dengan kemewahan [1m]
Soalan (ii): Kemahiran berfikir (soalan ini menguji kematangan pemikiran), misalnya:
- Seandainya anda orang yang berharta, bagaimanakah anda akan menghargai rezeki yang dikurniakan itu? [3 markah]
Skema Jawapan:
- menubuhkan suatu tabung kebajikan untuk membantu fakir miskin, mangsa bencana, dan pesakit kronik [1m]
- menubuhkan suatu yayasan pendidikan untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan [1m]
- melabur dalam institusi kewangan yang berdaftar [1m]
Soalan (iii): Soalan KOMSAS (menguji pengetahuan anda tentang aspek-aspek sastera), misalnya
- Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama dan dua pengajaran lagi daripada keseluruhan drama tersebut. [4 markah]
Skema Jawapan:
Pengajaran berdasarkan petikan:
- janganlah kita leka dengan kemewahan sehingga tidak membantu orang lain sebagaimana Mek Bongsu menikmati kekayaan sehingga mengabaikan masyarakat lain sejak berkahwin.
Pengajaran dalam teks drama:
- kita hendaklah mengamalkan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat sebagaimana Peran dan Bidan Tuh Mah menolong penduduk kampung yang buta [1m]
- janganlah terlalu bertindak mengikut emosi terhadap makhluk lain sebagaimana rama-rama yang diburu sanggup menyelamatkan Raja [1m]
SKEMA PEMARKAHAN
- Gunakanlah ayat sendiri;
- Binalah ayat yang sempurna / lengkap; jika tidak 1/2 markah dipotong;
- Jika disalin bulat-bulat (copy-and-paste) daripada teks dan jawapan itu tepat / betul, hanya separuh ( 50% ) markah akan diberikan;
- ½ markah akan dipotong untuk kesalahan bahasa / ejaan.
PERBEZAAN KATA TUGAS DALAM SOALAN BERBENTUK KOMSAS
SPM 2008 (N)
BERIKAN satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [3m]
KEHENDAK SOALAN: Berikan persoalan sahaja tanpa contoh atau huraian lanjut, misalnya:
[Isi 1] : Beradasarkan petikan, persoalan yang ditampilkan ialah ……………(persoalan) ……………….. [1m]
[Isi 2]: Dalam keseluruhan cerpen, persoalan pertama ialah ………………….(persoalan)……………….. [1m]
[Isi 3] : Terdapat juga persoalan ………………………………….. (persoalan) …………………. [1m]
SPM 2009 (J)
HURAIKAN satu persoalan yang terdapat dalam petikan drama tersebut dan satu persoalan lain daripada keseluruhan drama. [4m]
KEHENDAK SOALAN: Nyatakan persoalan serta contoh, misalnya:
[Isi 1] Dalam petikan drama, persoalan yang dipaparkan ialah ………(persoalan)………………….. [1m]; …………… (contoh) ………………. [1m]
[Isi 2] Persoalan yang terdapat dalam keseluruhan drama pula ……………… (persoalan) ………… [1m]; ………….(contoh) ……………….. [1m]
SPM 2009 (N)
JELASKAN satu latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. [4m]
KEHENDAK SOALAN: Nyatakan latar tempat serta contoh, misalnya:
[Isi 1]: Dalam petikan cerpen, antara latar tempat ialah ……………… (latar tempat) ………[1m]; …………………. [contoh peristiwa]……………… [1m]
[Isi 2] Dalam keseluruhan cerpen pula, terdapat ………………… (latar tempat) …………..[1m]; …………………. [contoh peristiwa]……………….. [1m]
SPM 2010 (J)
NYATAKAN dua pengajaran dalam petikan di atas dan dua pengajaran lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4m]
KEHENDAK SOALAN: Nyatakan pengajaran sahaja, huraian/contoh tidak perlu, misalnya:
[Isi 1]: Dalam petikan drama, pengajaran yang terdapat ialah kita hendaklah ………………………………………… (pengajaran) ………………………… [1m]
[Isi 2]:Terdapat juga pengajaran bahawa kita sewajarnya ………………………………… (pengajaran)…………………………. [1m]
[Isi 3]: Berdasarkan drama tersebut, pengajaran yang terdapat ialah kita seharusnya ……………………..(pengajaran) ……………………… [1m]
[Isi 4]: Pengajaran lain termasuklah kita sepatutnya ……………………………. (pengajaran) ………………………………………….[1m]
NOTA IMBUHAN:
- Mana-mana nilai, pengajaran, persoalan atau perwatakan yang terdapat dalam petikan TIDAK BOLEH dijadikan isi jawaban untuk karya keseluruhan (cerpen atau drama keseluruhan); dan
- Sentiasa menulis jawaban dalam ayat yang lengkap/ gramatis ( ayat mempunyai subjek dan predikat) agar TIDAK KEHILANGAN MARKAH.
SUMBER/SUMBANGAN: CIKGU ABD. RAZAK BIN HASSAN










