Kepentingan Membaca Karangan 2015


Pendahuluan : Dalam beberapa ungkapan peribahasa banyak juga yang membuat perbandingan perihal golongan cerdik dengan yang bodoh. Peribahasa seperti si bodoh menjadi makanan si cerdik, menggambarkan kecerdikan dan kepintaran menjadi keutamaan dalam masyarakat. Demikian pula dengan sepotong maksud ayat dalam Al Quran yang menyatakan, “Adakah sama golongan yang berilmu dengan golongan yang jahil?”. Kedua-dua ungkapan indah tersebut memberikan gred tertinggi kepada golongan yang bijak dan berilmu. Oleh itu, apakah ciri utama untuk menjadi golongan yang berilmu? Pemilikan ilmu tidak dapat ditiadakan dengan tradisi membaca. Oleh sebab itulah dalam tamadun Islam sendiri, Firman yang pertama yang turun kepada Nabi SAW ialah surah Al Alaq dengan membawa arahan membaca. Ketinggian darjat golongan yang gemar membaca akan meletakkan mereka sedarjat lebih tinggi daripada golongan biasa kerana dibezakan oleh ilmu. Oleh itu, membacalah untuk mengaut segala khazanah ilmu.

Apabila kita telusuri semula sejarah panjang tamadun Islam, kecemerlangan tamadunnya berpaksikan ilmu pengetahuan. Tradisi membaca yang amat ditekankan dalam Islam telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh agamawan dan ilmuwan yang tersohor. Daripada pembacaan yang penuh berdisiplin itulah, maka lahirlah tokoh-tokoh Islam yang amat hebat seperti ibnu Sina, Al Farabi, Imam Malik, Imam Shafie dan banyak lagi. Al Quran sebagai kitab teras dalam kepercayaan Islam telah memuatkan pelbagai khazanah ilmu yang meliputi empat paksi utama ilmu iaitu Akidah, Ibadat, Jinayat dan Munakahat. Penganut Islam yang benar-benar membaca dan menghayati isi kandungan Al Quran telah berjaya mengangkat syiar Islam ke seluruh empat penjuru alam. Pernah dikhabarkan, ketika kejatuhan kerajaan Abasiyah di tangan kuasa Mogul, air sungai Furat telah menjadi hitam pekat kerana cairan dakwat daripada buku-buku yang dibuang ke dalam sungai. Begitulah gambaran hebatnya budaya ilmu dalam kalangan generasi Islam zaman awal.

Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa tradisi membaca telah mengangkat martabat sesuatu bangsa. Hal tersebut berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh  Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya lmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu yang telah dibawa balik lalu diterjemahkan ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina atas budaya membaca. Permulaan zaman Renaissance di Eropah benar-benar terbentuk hasil menelaah dan mengkaji segala sumber ilmu yang bermula dengan tamadun Islam. Akhirnya, hingga kini Eropah telah menjadi ‘kiblat’ perkembangan ilmu seperti falsafah, tamadun dan teknologi. Bangsa Eropah bangkit daripada zaman gelap menjadi bangsa yang mengeksport ilmu. Demikianlah betapa hebatnya amalan membaca.

Berbalik kepada era moden, tradisi membaca telah menjadi penanda aras utama kepada pencapaian luar biasa beberapa buah negara kuasa ekonomi dunia. Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara baharu di Eropah telah menjadi kuasa ekonomi dunia. Walaupun potensi ekonomi mereka agak terhad, namun kuasa ilmu telah berjaya mengangkat negara-negara tersebut untuk terus bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun yang amat dikenali dengan kekuatan membaca dalam kalangan rakyatnya memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika sekalipun. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku dalam setahun. Kini dua lagi kuasa baru di Asia Timur jauh iaitu Korea Selatan dan Taiwan turut bersaing hebat dalam bidang teknologi. Hari ini, rakyat Korea Selatan amat disegani oleh dunia luar apabila teknologi android mereka dalam penghasilan telefon pintar Samsung telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah beberapa petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana bangsa membaca bangsa yang berjaya.

Amalan membaca sekali gus dapat membawa sesuatu bangsa untuk keluar dari zon jumud kepada intelek. Hakikatnya, rakyat Malaysia pada era penjajahan telah dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah dan dicucuk hidung. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia juga mula celik ilmu sebaik negara mencapai kemerdekaan. Akhirnya rakyat Malaysia mula menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Kita mula menjadi bangsa pencinta ilmu dan bermulalah tradisi membaca. Penubuhan pelbagai institusi pengajian sama ada rendah, menengah mahupun tinggi telah memberikan peluang rakyat menggali pelbagai cabang ilmu seperti bahasa, sejarah, keagamaan dan teknologi. Walaupun hakikat minat membaca rakyat Malaysia masih rendah jikalau hendak dibandingkan dengan rakyat Jepun, namun kesedaran ke arah itu telah bermula. Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kini kita telah muncul sebagai salah sebuah negara Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang. Demikianlah suatu dimensi baharu dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.

Kesimpulannya, memetik nukilan Saiyidina Ali KW, “Tuntutlah ilmu kerana ilmu menjaga kamu dan kamu menjaga harta. Ilmu apabila diperdagangkan bertambah dan harta apabila diperdagangkan berkurang, membuktikan bahawa ilmulah yang menjadi harta paling kekal. Demi sebutir ilmu, maka membacalah yang menjadi wadah utama. Sebagai bangsa yang masih baharu, kita masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau tradisi membaca terus diperkasakan, insya-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.