Karangan 2015 : Tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan membaca


Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada pada peringkat masyarakat umum ataupun pada peungkat pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberikan untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.

Berpandukan peribahasa, cahaya yang cerah bermula daripada lampu di tengah rumah membuktikan semua amalan yang baik hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan budaya membaca, keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya, maka semua pihak akan berasa seperti suatu keperluan untuk membaca. Setiap ahli keluarga terutama ibu bapa harus menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga. Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar kepada percambahan ilmu melalui tradisi membaca. Dalam tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Seandainya aktiviti lain seperti menonton televisyen, beriadah dan makan bersama boleh dibudayakan, masakan amalan membaca tidak boleh dilaksanakan? Barangkali inilah persoalan yang perlu dijawab oleh sebahagian besar institusi keluarga.

Peribahasa yang menyatakan  ‘getah daun akan mengalir ke perdu juga’ menunjukkan bahawa segala tingkah laku yang baik daripada ibu bapa  akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baharu dengan membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Malang sekali, belakangan ini akibat tekanan kerja dan masa yang terhad minat membaca dalam kalangan ibu bapa sendiri pun amat rendah. Masing-masing telah terbawa-bawa dengan gaya hidup baharu yang tidak boleh lekang dengan budaya ‘WhatsApp’, ‘Facebook’, ‘Twitter’ dan ‘Instagram’ mereka. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.

Ibu bapa juga bertanggungjawab menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup kepada anak-anak. Hal ini amatlah mustahak kerana kebanyakan ibu bapa masa kini cukup serius dalam menyediakan keselesaan fizikal kepada anak-anak seperti bilik tidur berhawa dingin, peranti elektronik dan peti televisyen. Akhirnya, semua kemudahan tersebut akan melalaikan anak-anak daripada membaca. Tidak salah kepada ibu bapa untuk melengkapi anak-anak mengikut kemampuan, namun tugas yang paling utama untuk mempertajam minda anak-anak tidak boleh diabaikan. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menyediakan kemudahan pembacaan dan mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat dan tahap. Dalam pemilihan bahan bacaan pula, ibu bapa tidak boleh cakap banyak atas permintaan anak-anak kerana minat dan bakat sememangnya tidak pernah sama dengan ibu bapa. Dengan sebab itu, kenalilah minat anak-anak serta didiklah mereka menjadi insan yang berjaya menyelak jendela ilmu dengan gemar membaca dan meneroka perkara-perkara yang baharu.

Langkah yang paling proaktif ialah ibu bapa perlu meluangkan masa  mengadakan rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku. Aktiviti sambil menyelam minum air ini akan memberikan suntikan baharu kepada anak-anak untuk gemar membuat koleksi bahan bacaan. Anak-anak akan terasa diri mereka dihargai atas kesudian ibu dan ayah membawa mereka bersiar-siar dan bersantai di samping memberi mereka ‘baja’ minda dengan berkunjung ke kantor-kantor bacaan untuk memberikan inovasi dan perspektif baharu kepada anak-anak tentang perkembangan dunia buku. Sekiranya usaha ini diperkasakan oleh setiap keluarga di Malaysia, nescaya dalam satu dekad lagi kita akan dapat melihat rakyat Malaysia akan bergulat dengan buku sama ada di dalam bas, LRT dan di mana-mana sahaja tempat yang masanya terluang.

Hidup dengan membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui huruf dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan membaca.