Karangan Bombastic dalam SPM

Bookdisplay


Soalan:

Saya ingin bertanya khasnya kepada Cikgu Ghalib Yunus (Munsyi Dewan) dan pemeriksa BM Kertas 1 SPM. Adakah penggunaan perkataan bombastik atau kata pinjaman seperti marcapada, dasawarsa, kudsi, uslub, ghalib dan sebagainya menjadi keperluan dalam karangan? Saya mempunyai kumpulan pelajar yang begitu ghairah menggantikan perkataan biasa dengan perkataan lain yang sama maksud tetapi jarang digunakan. Kadangkala penggunaan itu mengganggu kelancaran bahasa. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Daripada:
Munsyi K’Seven

Jawaban:
Saya tidak menggalakkan murid-murid/calon-calon PMR ataupun SPM menggunakan perkataan tersebut. Sebagai guru, kita hendaklah menggalakkan murid menggunakan perkataan yang senang difahami dan selalu digunakan. Perkataan yang telah lama seperti marcapada, kudsi, ghalib dan sebagainya tidak perlu digunakan lagi. Begitu juga halnya dengan perkataan Arab yang sering menjadi pilihan murid. Jika perkataan tersebut terdapat dalam bahasa Melayu, gunakanlah perkataan Melayu. Hasil daripada analisis yang saya lakukan, kebanyakan murid melakukan kesilapan apabila menggunakan perkataan tersebut. Oleh itu, galakkan murid kita menggunakan perkataan yang mudah difahami tetapi menarik. Sebagai contohnya, perkataan “kemalangan” boleh ditukar ganti dengan perkataan “kecelakaan”, “musibah”, “nahas”, dan sebagainya.

Abdul Ghalib Yunus (Munsyi Dewan)

KOMEN:
Cikgu Abdul Ghalib Yunus menyatakan bahawa beliau “tidak menggalakkan” para pelajar menggunakan kata-kata bombastik. Dengan erti kata lain, para pelajar boleh menggunakan kata-kata sedemikian tetapi perlu berhati-hati dalam penggunaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid “menyalahgunakan” kata-kata sedemikian sehingga menjejaskan karangan. Yang penting ialah pengayaan kosa kata perlulah luas dan tepat. Hal ini memandangkan sikap pelajar yang menganggap bahawa karangan yang menggunakan kosa kata yang biasa ialah karangan yang tidak berkualiti. Akhir kata, pelajar perlu MENGUBAH (CHANGE) persepsi sedemikian agar terselamat dalam medan peperiksaan; kata pujangga, turutkan rasa binasa, turutkan hati mati, turutkan mata leta.

karangan bombastik