Masalah Kemalangan Jalan Raya

kemalangan jalan raya


Selamat dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan, serta para pelatih yang saya kasihi sekalian. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dijalankan pada pagi ini. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengusaha Pusat Latihan Memandu Seri Mawar kerana mengambil inisiatif mengadakan kempen bagi memupuk kesedaran orang ramai terhadap aspek keselamatan di jalan raya. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menggunakan kesempatan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Punca dan Cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya”.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Isu kecelakaan jalan raya tidak lekang di bibir, terutamanya pada musim perayaan. Kata orang, jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Walhasil, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif dan konstruktif, seperti Ops Sikap dan Ops Raya 2011, untuk mencegah kemalangan jalan raya. Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah dalam dua operasi berasingan bagi mengawal lalu lintas dan mengawasi keselamatan pengguna pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini. Ironinya, kadar kemalangan jalan raya tetap meningkat. Dalam senario ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kerajaan kita kurang prihatin terhadap keselamatan para pengguna jalan raya? Adakah nyawa kita begitu murah? Adakah rakyat kita menjadi hamba kepada hawa nafsu? Adakah rakyat kita tidak rasional ketika berada di jalan raya? Tepuk dada tanyalah selera! Realitinya, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Ada angin, ada pokoknya!

Kecuaian ataupun kealpaan pengguna jalan raya antara penentu perdana tidak dapat dinafikan. Baik disedari mahupun tidak, dari perspektif etika, kelalaian merupakan suatu kesalahan kerana mengundang pelbagai komplikasi, yakni kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan penderitaan. Ghalibnya, kecuaian memandu berlaku disebabkan oleh tiga faktor, iaitu tekanan jiwa, tidak menumpukan perhatian terhadap pemanduan, dan di bawah pengaruh arak ataupun dadah. Tekanan jiwa boleh menjejaskan tumpuan terhadap pemanduan kerana mindanya bercelaru manakala jiwanya pula berkecamuk gara-gara pelbagai masalah mengundang padah, bak kata pepatah geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau!  Misalnya, desakan kerjaya dan rumah tangga, sementelahan kesesakan lalu lintas menggangu gugat konsentrasi pemandu sehingga melanggar kereta di depan ataupun terbabas di selekoh tajam.  Sementara itu, ada pemandu yang tidak prihatin membaca atau menghantar SMS seraya memandu, kononnya sambil menyelam minum air. Natijahnya, tumpuan terhadap pemanduan terjejas dan tanpa diduga, kemalangan boleh terjadi. Lebih teruk lagi apabila kes kemalangan berlaku bahana pemandu yang mabuk, terutamanya pada musim perayaan, hari libur, dan tengah malam. Tegasnya, punca kemalangan jalan raya tidak lain dan tidak bukan kealpaan para pengguna jalan raya, bukannya pihak kerajaan.

 

Para hadirin sekalian,

Sudah terang lagi bersuluh, baik jalan raya ataupun lebuh raya kita menjadi sungai maut berpokok pangkal daripada kegagalan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. Mereka, terutamanya generasi muda, beraja di mata, bersultan di hati. Ada yang terlalu mengikut perasaan tanpa mengendahkan musibah kemalangan, kata orang turutkan rasa binasa, turutkan hati mati, turutkan mata leta. Peraturan yang ditetapkan, misalnya kelajuan maksimum 110 kilometer sejam, seolah-olah hanya wujud di atas kertas dan peringatan daripada PDRM ataupun JPJ bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar dari telinga kiri. Pemandu bas ekspres ataupun treler, tamsilnya, bermaharajela di lebuh raya dengan memperlarikan kenderaan serta memotong kenderaan sewenang-wenang seolah-olah dirasuk syaitan. Remaja pula berlumba haram di jalan raya seolah-oleh jalan raya kepunyaan orang tua mereka. Demi pengetahuan kalian, gejala mat rempit yang kian leluasa dalam kalangan generasi muda dan memudaratkan keselamatan orang ramai berlaku di negara kita sahaja.  Fenomena ini memanifestikan bahawa rakyat Malaysia sudah ketandusan ataupun kegersangan nilai-nilai etika ataupun moral. Tuntasnya, kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas menjadi pokok pangkal peningkatan kes kecelakaan jalan raya di negara kita.

 

Para pelatih yang dihormati,

Setiap penyakit ada penawarnya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Penawar yang mustajab untuk masalah sikap pengguna jalan raya sekali gus mengatasi kemelut kemalangan jalan raya ialah pendidikan. Pada hakikatnya, pendidikan memainkan peranan yang terpenting untuk membentuk sikap pengguna yang terpuji sekali gus mengelakkan berlakunya salah laku jalan raya. Pengguna jalan raya perlu dididik supaya mempunyai kesedaran tentang keselamatan di jalan raya dan mempunyai sahsiah diri yang betul sebagai pengguna jalan raya. Kesedaran ini seelok-eloknya disemaikan sejak di bangku sekolah lagi kerana masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sudah menjadi aur. Pendidikan yang berterusan mestilah disuntik ke dalam jiwa pengguna jalan, dan bukannya melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Tiga saluran pendidikan boleh digunakan yakni melalui sekolah, misalnya dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, melalui sekolah memandu, dan melalui saluran komunikasi awam seperti radio dan televisyen. Saluran komunikasi, misalnya, mestilah menjadi wadah penyebaran maklumat yang dapat memainkan tanggungjawab sosial untuk mencelikkan mata orang ramai peri pentingnya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan bukannya menjadi medan untuk meraih keuntungan semata-mata. Tamsilnya, kehadiran filem genre remaja dan sosial di pawagam seperti KL Menjerit 1, Remp-it, Anak Halal, KL-Drift, Haru-Biru, Impak Maksima, dan yang terbaharu Bohsia seharusnya mampu mendidik pengguna jalan raya khususnya dalam kalangan generasi muda dan bukannya bertujuan menyogokkan unsur hiburan semata-mata. Realitinya, pendidikan merupakan instrumen yang paling efektif bagi mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu kerana ingat sebelum kena, hemat sebelum habis sekali gus menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Akhirulkalam, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya bukan sahaja mengundang maut malahan kemalangan jalan raya turut menyebabkan negara mengalami kerugian. Oleh itu, marilah bersama-sama mengorak langkah sederap untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara kita. Kata orang, berat sepikul, ringan sejinjing! Semoga adik-adik yang hadir di pusat latihan memandu pada hari ini akan menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya apabila telah mendapat lesen memandu kelak. Ingatlah, usaha menangani kemalangan jalan raya tidak boleh dipandang enteng. Usaha yang pragmatik dan konstruktif sahaja tidak memadai jika tiada iltizam dan komitmen golongan muda. Akhir kalam, janganlah terhantuk baru tengadah!

Sekian, terima kasih.