Monthly Archives: November 2010

KARANGAN SAMPEL GRED A

PERHATIAN!!!

Sebarang karangan yang disiarkan adalah untuk rujukan pengajaran dan pembelajaran, bukan untuk tujuan komersial. Jika petik karangan ini untuk apa-apa tujuan, sila nyatakan sumbernya. Hargailah harta intelek seseorang.

Dimensi Antarabangsa/Global/Serantau

Malaysia sentiasa prihatin terhadap warga dunia yang ditimpa bencana. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa.

Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut.

Mayat bergelimpangan. Bangkai bertaburan. Harta benda musnah. Anak kebuluran. Demikianlah senario gara-gara bencana alam. Kehidupan nescaya akan menjadi sukar untuk mangsa-mangsa bencana alam seperti  ribut, banjir, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan sebagainya. Siapakah yang dapat membantu mereka? Malaysia boleh. Kita boleh menyumbangkan khidmat bantuan kebajikan dan kemanusiaan kepada mangsa malapetaka alam. Kita boleh memberikan maklumat dan menawarkan bantuan kepakaran dan teknikal dalam usaha membangunkan kawasan yang terbabit. Kita boleh melancarkan tabung kebajikan mangsa bencana di peringkat kebangsaan. Persoalannnya, mengapakah Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut?

Inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dunia dapat menjalin tali silaturahim dan ukhuwah dengan negara-negara yang terbabit. Apabila kita menyumbangkan apa-apa jua bantuan kepada negara yang dilanda musibah alam, sudah tentu tali persaudaraan dengan rakyat dan negara yang terbabit dapat dipererat. Ketika tsunami besar melanda negara-negara serantau pada tahun 2004, misalnya, Mercy Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan bantuan perubatan sukarela telah menghulurkan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Bantuan perubatan amat diperlukan dan dihargai kerana mangsa-mangsa bencana bukan sahaja mengalami kecederaan parah bahkan menghidap penyakit berjangkit. Bantuan berupa ini bukan setakat dapat meringankan penderitaan mereka malah tali ukhuwah terjalin dengan negara-negara yang terbabit, bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga.

Sebagai umat manusia yang berprihatin dan bertimbang rasa, sudah menjadi lumrah manusia untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pertolongan, terutamanya mangsa-mangsa bencana. Mungkin hari ini jiran kita, Indonesia, dilanda bencana alam letusan gunung berapi dan tsunami, mungkin esok Filipina dilanda ribut taufan, dan mungkin lusa kita pula ditimpa bencana tanah runtuh. Dengan erti kata lain, apabila kita senang dan makmur, kita tidak harus berpeluk tubuk menyaksikan kesengsaraan jiran-jiran kita kerana malang tidak berbau dan kemalangan tidak mengenal mangsanya  Seelok-eloknya, kita menyumbangkan apa-apa juga bantuan baik kewangan, makanan, perubatan mahupun teknikal kepada mana-mana negara yang dilanda musibah alam. Pendek kata, kejadian bencana alam mengundang keprihatinan rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tanpa mengira sempadan budaya, kaum, agama, mahupun negara, kita perlu menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Bahkan, keterlibatan dalam penyumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dapat meningkatkan imej kita sebagai negara yang makmur di persada antarabangsa. Kita berbangga dengan kemantapan siasah dan kemapanan iktisad yang sedang kita kecap. Kita mendabik dada dengan ahli sukan kita, terutamanya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David. Kita juga harus bermegah dengan kemampuan kita dalam usaha membantu rakan-rakan kita yang dilanda bencana alam di seantero dunia. Seandainya kita mampu menghulurkan bantuan kewangan, rawatan perubatan, ubat-ubatan, makanan, teknikal, kejuruteraan, dan sebagainya, sesungguhnya kita sudah berjaya dan maju dalam segala aspek kehidupan. Dengan kemampuan dan keprihatinan ini, kita dapat meraih keyakinan dan kehormatan bangsa-bangsa maju di empat pojok dunia. Dengan ini, rakyat asing tidak akan teragak-agak untuk melabur di negara kita kerana mereka akan berasa selamat dan bahagia di Bumi Malaysia. Kesannya, kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Sebagai intiha, sumbangan kepada mangsa-mangsa malapetaka alam tanpa mengira bangsa dan negara mencerminkan bahawa rakyat Malaysia berperikemanusiaan. Tidak kira negara yang ditimpa bencana alam itu kaya ataupun miskin, maju ataupun mundur, kawan atau musuh, jiran ataupun sahabat, kita patut menghulurkan tangan memberikan apa-apa jua bantuan agar kesengsaraan dan keazaban mangsa-mangsa bencana dapat dikurangkan. Kita memang mengharapkan kemakmuran dan kebahagiaan di dunia ini tetapi bencana alam adalah di luar kuasa manusia. Jadi, seandainya ditimpa apa-apa jua musibah, eloklah kita menyumbangkan bantuan sekadar yang dapat kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam menghadapi bencana alam, kita bersama-sama mengorak langkah mengurangkan impak musibah alam dan berganding bahu meredakan penderitaan mangsa-mangsa bencana. Dengan adanya perasaan kemanusiaan dalam kalangan manusia, kita dapat hidup bahagia dan harmoni di dunia ini.

KARANGAN CONTOH GRED A (26 – 30)

TOPIK/TEMA: PELESTARIAN / PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

FOKUS:  SEBAB / KEPENTINGAN / KEMASLAHATAN

[Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. [Ayat Hurain] Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. [Ayat Huraian]Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

[Ayat Judul]Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. [Ayat Huraian]Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. [Ayat Contoh]Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

[Ayat Judul]Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. [Ayat Huraian]Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. [Ayat Contoh]Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.

[Ayat Judul]Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. [Ayat Huraian]Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. [Ayat Contoh]Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

[Ayat Kesimpulan]Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. [Ayat Cadangan]Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. [Ayat Penilaian]Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. [Ayat Penilaian]Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!