Pertarungan Tuah dengan Jebat


Baca petikan cerita di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan kata-kata anda sendiri.

Maka dilihat segala rakyat dalam negeri Melaka itu Laksanama dititahkan raja membunuh Si Jebat itu, maka kata orang banyak itu, “Marilah kita melihat temasya Laksamana dititahkan raja membunuh Si Jebat itu. Sekali ini baharulah Si Jebat beroleh lawan, sama berani dan sama tahu, kerana Laksamana pun banyak tahunya.” Maka kata seorang pula, “Si Jebat pun tahu banyak maka ia tiada dapat dilawan,” Maka kata seorang pula, “Apatah kita perbantahkan? Kita lihat sekarang; siapa mati siapa pula hidup pun bertentulah kerana Laksamana hulubalang besar; sudah ia bercakap Ke Bawah Duli Yang Dipertuan masakan ia kembali sahaja.”

Hatta dengan demikian maka Laksamana pun sampailah ke balai gendang. Maka Laksamana berhenti di balai gendang mendengar bunyi rebana itu terlalu ramai, Si Jebat makan minum dengan segala isi istana. Setelah dilihatnya hampir tengah hari, maka didengar oleh Laksamana bunyi rebana dan redap itu berhenti, hingga bunyi rebana kecil juga lagi bunyinya mengulit Si Jebat tidur. Maka Laksamana pun tahulah akan Si Jebat tidur itu. Maka Laksamana pun melihat ketika dan edaran. Setelah sudah sampai ketikanya maka Laksamana pun turun dari balai gendang itu lalu berjalan masuk ke dalam pagar lalu berdiri di tengah halaman istana itu.

(i)     Menerangkan maksud rangkai kata

Apakah maksud rangkai kata  di bawah berdasarkan petikan tersebut

beroleh lawan

sama berani dan sama tahu

terlalu ramai

melihat ketika dan edaran

[2 markah]

SKEMA JAWAPAN

– berhadapan dengan pihak lawan yang sama handal / hebat [2m]

sama gagah serta sama mahir [2m]

– sangat kuat [2m]

menanti waktu yang sesuai untuk bertindak [2m]

(ii)    Soalan Kontekstual

Apakah yang diperkatakan oleh orang ramai ketika Laksamana Hang Tuah datang untuk membunuh Hang Jebat?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

–  perihal pertarungan nyawa antara Tuah dengan Jebat [1m]

– kedua-dua mereka merupakan pahlawan Melaka yang sama handal [1m]

– ingin mengetahui siapa yang akan menang / siapa yang akan terbunuh [1m]

Apakah yang dilakukan oleh Hang Jebat ketika Laksamana Hang Tuah datang untuk membunuhnya?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

–   bertemasya / berpesta [1m]

– menjamu selera bersama-sama seisi istana [1m]

–  tidur ditemani bunyi rebana [1m]

(iii) Soalan KBKK

Pada pendapat anda, wajarkah Laksamana Hang Tuah membunuh Hang Jebat yang merupakan rakan seperjuangannya? Berikan alasan anda.

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

–  wajar kerana Jebat telah menderhaka kepada Sultan Melaka [1m]

– mencerobohi istana [1m]

– berpesta dengan dayang-dayang [1m]

-telah banyak membunuh orang yang tidak berdosa [1m]

Seandainya anda Laksamana Hang Tuah, adakah anda akan membunuh Jebat atas perintah Sultan?

[3markah]

SKEMA JAWAPAN

–   tidak kerana Jebat menuntut bela atas ‘kematian’ saya / hendak menegakkan keadilan [1m]

– Jebat merupakan rakan seperjuangan dan rakan sepermainan saya sejak kecil [1m]

-Jebat telah banyak berjasa kepada negeri Melaka [1m]