Categorized | News

STRATEGI MEMBINA KARANGAN

Posted on 18 October 2010 by munsyi bahasa


KRITERIA PENSKORAN

Cemerlang (26 – 30)

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaan tanda baca betul dan tepat. Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru. Penggunaan kosa kata luas dan tepat.
  • Wacananya lengkap. Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik (peribahasa, slogan, kata-kata ucapan)
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang.

DIMENSI WARISAN BANGSA: PERMAINAN TRADISIONAL

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang sebab-sebab permainan tradisional perlu dipertahankan. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

1.  PERENGGAN INTRODUKSI

[Tajuk karangan: Ayat Rangsangan] Sejak era nenek moyang lagi, permainan tradisional merupakan sebahagian kehidupan masyarakat Melayu. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Pelbagai jenis permainan yang beraneka ragam seperti galah panjang, wau, gasing, pelepah pinang, serak biji saga, dan sebagainya  masih dimainkan pada waktu senggang bersama-sama sanak saudara dan sahabat handai. [Pengembangan:Ayat Huraian 2] Permainan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. [Fokus karangan: Ayat Arahan] Sesungguhnya, terdapat beberapa sebab kita wajar mempertahankan ataupun melestarikan permainan tradisional kita.

2.  PERENGGAN ISI 1 (JENIS DEDUKTIF)

[Idea karangan: Ayat Judul] Tidak dapat dinafikan, permainan tradisional merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai. [Pengembangan:Ayat Huraian] Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba, pesawah dan nelayan mengisi masa yang terluang dengan kerja-kerja sampingan serta permainan rakyat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Pelbagai permainan tradisional dimainkan termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing, dan lain-lain. [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Oleh sebab budaya ini warisan budaya bangsa Malaysia, maka warisan ini sewajarnya dilestarikan.

3.  PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)

[Idea karangan: Ayat Judul]Selain itu, permainan tradisional dapat dijadikan sumber hiburan ataupun rekreasi kepada masyarakat. [Pengembangan: Ayat Huraian ]Hal ini demikian kerana permainan tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri, mudah dimainkan, menyeronokkan, dan menghiburkan. [Pengembangan: Ayat Contoh] Masa yang terluang seelok-eloknya dimanfaatkan oleh masyarakat kita untuk bermain gasing leper, bulu ayam, konda kondi, sepak raga, dan sebagainya yang bersifat sihat kerana tidak membobrokkan akhlak mahupun menimbulkan ketagihan.  [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Sebagai sumber hiburan yang sihat, maka permainan tradisional sewajarnya dipopularkan dan dipertahankan daripada lenyap ditelan zaman.

4.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Permainan tradisional juga dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menarik. [Pengembangan:Ayat Huraian]Pertunjukan permainan ini memang dapat menggamit pelancong-pelancong dari empat pojok dunia agar melancong sambil bersantai di negara kita yang kaya dengan keunikan budaya. [Pengembangan:Ayat Contoh]Melalui pelancongan inap desa (homestay), misalnya, tetamu asing kita bukan saja boleh dihidangi dengan permainan gasing pangkah dan wau bulan bahkan dapat menikmati keseronokan permainan. [Kesimpulan: Ayat Penyimpul]Pendek kata, permainan tradisional merupakan pemangkin perkembangan industri pelancongan kita.

5.  PERENGGAN INTIHA

[Rumusan: Ayat Kesimpulan] Sebagai akhirulkalam,  permainan rakyat yang berunsur tradisional banyak mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. [Ayat Pandangan ]Jadi, janganlah dibiarkan permainan ini berkubur begitu sahaja. [Ayat Cadangan]Sebagai pewarisnya, maka kita sewajarnya mempertahankan dan mempopularkannya kerana tak kenal, maka tak cinta. [Ayat Pendirian/Penegasan]Biar sebagus mana sekalipun permainan moden, permainan tradisional tidak patut sekali-kali dipinggirkan dalam kamus hidup kita.


8 Comments For This Post

  1. Oscar Says:

    Ada banyak guru yang beritahu bahawa karangan bahagian A, tidak boleh melebihi 250 patah perkataan, tetapi dalam SPM pula, adakah diizinkan melebihi 250 patah perkataan ?

  2. munsyi bahasa Says:

    Seelok-eloknya janganlah terlalu panjang ataupun meleret-leret kerana skrip jawapan disemak oleh manusia, bukannya robot. Fahamilah fitrah manusia!!! Sebaik-baiknya janganlah melebih 300 patah kata. Yang lebih penting ialah Karangan Bahagian B – Karangan Respons Terbuka.

  3. Danaraj Ram Kumar Says:

    contoh karangan yang baik dan mudah untuk difahami! Penggunaan kata yang gramatis!

  4. Dineskumar Blackroverz Says:

    Satu contoh karangan yang cemerlang.Sampel karangan sebegini amat berguna kepada saya dan kawan-kawan saya

  5. Previn -Roverz Says:

    Sir berapa isi yang diperlukan dalam karangan B?

  6. munsyi bahasa Says:

    Dalam skema pemarkahan terkini, bilangan isi yang diperlukan tidak dinyatakan. Dengan erti kata lain, bilangan isi adalah bebas. Namun demikian, 3 – 5 isi sudah memadai. Yang penting ialah penguasaan bahasa, kosa kata, ejaan, tanda baca dan huraian isi.

  7. munsyi bahasa Says:

    Tidak. Karangan dinilai secara holistik & ‘impression’ berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

  8. perv Says:

    terima kasih cikgu.

1 Trackbacks For This Post

  1. Laman Munsyi Bahasa Says:
Advertise Here
Advertise Here

RELATED SITES