Categorized | News

STRATEGI MEMBINA KARANGAN

Posted on 18 October 2010 by munsyi bahasa


Dimensi Antarabangsa

KEPENTINGAN PELABURAN ASING

INTRODUKSI

Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi pelaburan langsung asing. Promosi dan penyelarasan pembangunan perindustrian dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Agensi ini bertindak sebagai titik permulaan perhubungan untuk para pelabur yang berhasrat mengadakan projek-projek dalam sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan di Malaysia. Demi menggamit para pelabur cenderung untuk menanam modal di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan terutama prasarana yang lengkap. Persoalannya, mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh mahu memastikan pelabur asing memilih Malaysia?

Kepentingan 1: Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan

Sebenarnya dengan adanya pelaburan asing, banyak peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan. Demi meningkatkan produktiviti, tenaga kerja rakyat yang mahir dan separuh mahir amat diperlukan walaupun teknologi moden digunakan. Dalam konteks Malaysia, belia lepasan sekolah memang mendahagakan pekerjaan untuk membaiki nasib diri dan keluarga. Golongan ini sedar, peluang bekerja di sektor awam amat terhad, ditambah lagi kelulusan setakat SPM, lalu kilang-kilang menjadi pilihan. Hal ini bermakna, kehadiran pelabur asing mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya mengurangkan gejala sosial yang dicetuskan oleh penganggur. Misalnya, peragut beraja di mata, bersultan di hati kerana tiada sumber pendapatan yang halal. Dengan kata-kata lain, dengan hadirnya pelabur-pelabur asing, pekerjaan menanti belia, bukan belia menanti pekerjaan.

Kepentingan 2: Nadi penggerak pembangunan dari segi infrastruktur

Dari perspektif pembangunan negara, pelaburan asing merupakan nadi penggerak ke arah kemajuan negara dalam pelbagai sektor. Kemudahan asas yang sempurna merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan perindustrian. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan elektrik dan air, di samping sistem pengangkutan yang baik demi menarik dan menjayakan projek pelaburan asing. Hal ini demikian kerana negara kita perlu mempunyai iklim pelaburan yang kondusif demi menggamit pelabur-pelabur dari seantero dunia. Pelabur-pelabur asing sendiri pula akan menyediakan kemudahan rekreasi dan tempat kediaman untuk para pekerja. Penyediaan perhidmatan sosial ini akan meninggikan taraf hidup sosial rakyat negara ini. Contohnya, Jalan Sultan Azlan Shah telah dibina untuk memudahkan haluan kilang-kilang di Bayan Lepas dan Bayan Baru di Pulau Pinang. Pendek kata, pelaburan asing merupakan pemangkin pembangunan negara.

Kepentingan 3: Pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran

Bahkan, pelaburan asing membolehkan pemindahan teknologi moden serta kepakaran ke negara kita yang sedang membangun dengan pesatnya. Tidak dapat dinafikan bahawa penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi canggih menelan ongkos yang tinggi. Sehubungan dengan ini, Malaysia masih kekurangan sumber kewangan untuk membiayai projek-projek latihan dan penyelidikan demi mencapai teknologi moden. Masalah ini merupakan satu penghalang yang mengekang kemajuan sektor perindustrian, pendidikan, perubatan, pertanian, dan sebagainya. Melalui pelaburan asing, pelabur-pelabur asing akan membawa bersama teknologi dan sistem pengurusan moden serta tenaga profesional yang pakar dan produktif. Mereka juga akan melaksanakan pelbagai program untuk melatih buruh tempatan demi mengembangkan pengetahuan kepakaran agar pekerja-pekerja tempatan dapat diserapkan dalam projek pelaburan mereka. Contohnya, projek mencari gali minyak di Terengganu memerlukan teknologi yang canggih dan guna tenaga yang mahir. Tegasnya, pelabur asing menggalakkan pemindahan teknologi mutakhir dan kepakaran ke negara kita.

Kepentingan 4: Menambah pendapatan negara

Dalam pada itu, pendapatan negara akan bertambah melalui pelaburan asing. Pengaliran wang ke luar negara akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Sebelum ini, kebanyakan bahan mentah dieksport ke negara-negara maju dengan harga yang rendah. Kemudian, bahan mentah ini diproses menjadi barangan siap dan dijual semula ke negara ini dengan harga yang lebih tinggi. Kemasukan pelaburan asing membolehkan modal yang banyak dan kepakaran disalurkan ke kilang-kilang perusahaan tempatan. Bahan-bahan tempatan boleh diproses oleh kilang-kilang di negara ini. Dengan cara ini, harga dan penggunaan bahan mentah tempatan lebih terjamin, di samping menyumbangkan pendapatan kepada negara dari segi cukai. Malah, sumber kewangan dalam projek-projek pelaburan asing itu merupakan modal pelaburan yang tidak perlu dibayar balik. Dalam usaha mengatasi kemelesetan ekonomi dan memajukan taraf kehidupan rakyat, pihak kerajaan banyak meminjam daripada intitusi kewangan asing sehingga menyebabkan hutang negara mencapai 45 billion ringgit pada tahun 2009. Maka melalui pelaburan asing, kerajaan tidak perlu meminjam dan berhutang keliling pinggang.

Intiha

Deduksinya, kepentingan dan sumbangan pelabur asing kepada negara kita tidak ternilai. Jadi, langkah-langkah proaktif, konstruktif dan pragmatik perlulah diambil agar negara kita menjadi pilihan utama di rantau ini. Dalam hal ini, kita perlu sensitif dan peka akan kehendak dan cita rasa mereka dengan melonggarkan dasar ekuiti asing untuk sektor perkilangan, seperti pelabur asing sekarang boleh memegang 100% ekuiti tanpa mengambil kira tahap eksport. Selain itu, birokrasi dalam pelaburan asing perlulah dipermudah agar tidak menyusahkan para pelabur asing, di samping membanteras gejala rasuah atau tumbuk rusuk sehingga akar umbinya. Iklim siasah yang mantap yang kita kecap sekarang juga haruslah dipelihara. Dengan adanya pengaliran masuk modal, teknologi canggih, pendapatan, dan sebagainnya tidak mustahil bagi kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di rantau ini. Seterusnya, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi realiti, bukannya angan-angan kosong.

2 Comments For This Post

  1. farah Says:

    saya kagum bile membace karangan ni

  2. fafa@ayien Says:

    karangan yang sangat mantap