Fokus Karangan PMR



TAJUK KARANGAN: ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB KITA

FOKUS KARANGAN: CARA-CARA MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

FORMAT KARANGAN: SYARAHAN (SITUASI PERTANDINGAN)

[Ayat Format: Kata Alu-aluan] Yang Dihormati Tuan Pengerusi, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Bukit Hijau, Encik Zainuddin bin Hj. Arshad, Guru Penasihat Kelab Rekreasi dan Alam Sekitar, Encik Kamaruddin bin Che Din, para hakim yang adil saksama, guru-guru, dan rakan pelajar.  Selamat pagi dan salam sejahtera.

[Ayat Format: Tajuk syarahan] Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, maka tajuk syarahan saya ialah ‘Alam Sekitar Tanggunjawab Kita’. [Ayat Rangsangan: Tajuk karangan] Tajuk ini amat sesuai untuk direnungi bersama memandangkan alam sekitar kita sedang menghadapi tahap pencemaran yang amat serius. [Ayat Huraian: Pandangan] Kita sedang mengalami suatu fenomena yang dikenali sebagai pemanasan global atau kesan rumah hijau. Saya pasti bahawa para hadirin turut mengalami dampaknya. Mungkin para hadirin akan tertanya-tanya prihatinkah manusia terhadap alam sekitar? [Ayat Arahan:Fokus karangan] Jadi, apakah yang patut kita lakukan? Bolehkah kita memainkan peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar kita yang sudah tercemar ini?

Hadirin yang saya hormati,

[Ayat Topik: Idea karangan] Tanggungjawab perdana kita ialah menyahut seruan kerajaan dengan mengamalkan program kitar semula. [Ayat Huraian] Usahlah bebankan tanggungjawab pelestarian alam sekitar di pundak kerajaan semata-mata. Kita haruslah mengikis persepsi ini daripada kamus hidup kita dengan menjadi rakyat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. [Ayat Contoh] Kumpulkan dan asingkanlah bahan-bahan buangan ataupun terpakai di rumah. Bungkuslah barang-barang yang dapat dipergunakan ataupun dikitar semula seperti botol plastik, surat khabar lama, dan tin aluminium, secara berasingan . Kemudian, hantarlah barang-barang ini ke pusat kitar semula yang berhampiran. Jadikanlah aktiviti ini aktiviti keluarga bulanan. [Ayat Penyimpul: Kesan] Saya pasti, keceriaan alam sekitar dan keharmonian hidup kita terjamin!

[Ayat Topik] Seterusnya, pembakaran sampah sarap secara terbuka hendaklah kita elakkan. [Ayat Huraian] Kegiatan ini tidak sihat kerana bukan sahaja mencemari alam sekitar malah memudaratkan kesihatan manusia. Sudikah kita hidup di Bumi yang diselubungi jerebu? Jadi, marilah kita menjadi penghuni Bumi yang lebih bertanggungjawab. [Ayat Contoh] Usahlah bakar daun-daun kering, sampah, ataupun tayar buruk sewenang-wenang; kononnya hendak membasmi nyamuk aedes. Sebaliknya, buanglah sampah sarap ke dalam tong sampah secara sistematik. Pekerja majlis perbandaran akan memungut sampah sarap ke tapak pelupusan sampah. [Ayat Penyimpul: Kesan] Dengan ini, kebersihan alam sekitar dan kesihatan kita nescaya terpelihara!

[Ayat Topik] Satu langkah mudah yang dapat kita lakukan ialah penjimatan elektrik. [Ayat Huraian] Penggunaan elektrik secara membazir bukan sahaja meningkatkan kos kehidupan bahkan mencemari alam sekitar. Jika kita menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, kita dapat mengurangkan pembakaran bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik di stesen jana kuasa elektrik. Jadi, amalkanlah langkah jimat cermat. [Ayat Contoh] Misalnya, tutuplah suis lampu, kipas, alat pendingin udara, dan sebagainya apabila tidak diperlukan. Amalkanlah penjimatan elektrik di rumah dan di sekolah. [Ayat Penyimpul] Kesannya, bukan sahaja sumber alam semula jadi dapat dijimatkan bahkan Bumi kita dapat diselamatkan.

Hadirin yang saya harmati,

[Ayat Kesimpulan] Sebagai akhirulkalam syarahan saya pada pagi ini, saya ingin mengingatkan semua warga dewan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama. [Ayat Cadangan: Nasihat] Umat manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka, manusia tidak sepatutnya bertindak beraja di mata, bersultan di hati terhadap alam sekitar. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk menyelamatkan Bumi kita dari sekarang juga. Biarpun kecil, sumbangan ini amat bermakna. [Ayat Harapan] Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, renungilah serangkap sajak daripada saya yang berbunyi:

Ini laut kita, lindungilah daripada pencemaran,

ini hutan kita, lindungilah daripada pemusnahan,

ini sungai kita, lindungilah daripada pembuangan,

ini Bumi kita, lindungilah daripada penodaan.

[Ayat Format] Sekian, terima kasih.

Disumbangkan oleh Cikgu Khairul bin Junid (Guru Cemerang)

KARANGAN CONTOH BAHAN RANGSANGAN

Tajuk karangan: Gejala lepak

Fokus karangan: Kesan-kesannya

[Ayat Rangsangan] Dewasa ini, gejala lepak meniti bibir dalam kalangan masyarakat. [Ayat Arahan] Gejala ini mendatangkan dampak negatif kepada kaum remaja.

[Ayat Topik 1] Gejala lepak memang membuang masa remaja. [Ayat Huraian] Mereka hanya berborak-borak kosong di tepi jalan raya ataupun di kompleks beli-belah. [Ayat Topik 2] Implikasinya, pelajaran mereka terjejas. [Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana mereka mengabaikan kerja rumah dan tidak menelaah pelajaran. [Ayat Topik 3] Selain itu, masalah sosial semakin meruncing. [Ayat Huraian] Rata-rata kaki lepak terbabit dalam jenayah seperti vandalisme dan gengsterisme. [Ayat Topik 4] Natijahnya, imej negara tercemar. [Ayat Huraian] Hal ini menjejaskan industri pelancongan kita kerana keselamatan mereka terancam.

[Ayat Cadangan] Oleh itu, gejala lepak ini hendaklah dibendung. [Ayat Harapan] Dengan ini, masa depan generasi muda dan negara terjamin.

Disumbangkan oleh Cikgu Nordin bin Hj. Ghazali

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.

KARANGAN JENIS PERBINCANGAN

Tajuk karangan: Amalan berjimat cermat

 

Fokus karangan: Cara-cara ibu bapa memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak

[Ayat Rangsangan] Amalan berjimat cermat memang menjadi agenda perdana dalam kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Malangnya, anak-anak remaja bersikap membazir dan memboros dari segi perbelanjaan serta penggunaan air dan elektrik. Mereka seolah-olah tidak menghargai nilai wang dan sumber alam. Dalam konteks ini, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat Arahan] Persoalannya, bagaimanakah ibu bapa boleh melahirkan anak yang menghayati amalan berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan?

[Ayat Topik 1] Antara langkah perdana dalam pemupukan amalan berjimat cermat dalam kalangan anak ialah ibu bapa perlu menjadi anjakan paradigma kepada anak mereka. [Ayat huraian] Mereka harus menjadi cermin perbandingan yang positif kepada anak-anak dalam segala aspek kehidupan kerana bapa borek anak rintik! [Ayat Contoh] Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, setiap tindak-tanduk ataupun gerak-geri ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Misalnya, jika ayah bertelefon bimbit berjenama Nokia N95, anak lelaki pula hendak memiliki Nokia N97; jika ibu senantiasa tidak menutup pili air selepas menggunakannya, maka anak gadis pula akan senantiasa tidak menutup suis lampu. [Ayat Penyimpul] Jadi, ibu bapa haruslah menjadi contoh teladan yang sihat kepada anak.

[Ayat Topik 2] Selain menjadi modal insan yang ideal, ibu bapa perlu mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana sikap boros tidak relevan lagi dalam kehidupan kita dalam zaman kegawatan ekonomi ini kerana mengundang musibah, iaitu kemiskinan dan kesengsaraan. [Ayat Contoh] Kita sering terdengar cerita seorang ayah berumah banglo dan berkereta mewah dahulu, tetapi sekarang berkain basah kering di pinggang. Kita bukan tidak boleh berkereta ataupun berumah, tetapi apa gunanya berkereta mewah dan berrumah banglo.  [Ayat Penyimpul] Pendek kata, anak-anak kita tidak akan mengamalkan sikap kesederhaan selagi ibu bapa mengagung-agungkan kemewahan.

[Ayat Topik 3] Ibu bapa juga perlu mengamalkan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam penerapan amalan berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat huraian] Dalam hal ini, ibu bapa perlu menekankan kepentingan 3R dalam usaha mencermatkan perbelanjaan dengan melibatkan semua ahli keluarga. [Ayat Contoh] Misalnya, anak-anak perlu dididik agar mengurangkan penggunaan air, tenaga elektrik, kertas tulisan, ubat gigi, syampu, pencuci muka, dan sebagainya. Selain itu, barang-barang terpakai seperti bekas air, beg sekolah, kasut dan sebagainya perlulah digunakan semula. Barang-barang yang tidak berguna pula dihantar ke pusat kitar semula.  [Ayat Penyimpul] Tegasnya, konsep  3R ini dapat memupuk tabiat berjimat cermat dalam kehidupan anak.

[Ayat Kesimpulan] Intihanya, kepentingan peranan ibu bapa dalam melahirkan anak yang berjimat cermat dalam kehidupan tidak dapat dinafikan. [Ayat Pandangan] Sesungguhnya, tabiat lama, yakni pembaziran dan pemborosan, sukar dikikis, tetapi boleh diubah secara beransur-ansur. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, ibu bapa perlu menonjolkan kesungguhan, kezaman, dan keiltizaman melalui teladan dan mengamalkannya sehingga konsep berjimat cermat ini menjadi sebahagian hidup kita. Pedoman orang tua-tua  “cermat masa banyak, jimat masa sedikit” dan “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis” pula hendaklah dijadikan petunjuk dalam kehidupan kita . [Ayat Harapan] Dengan ini, seisi keluarga dapat mencegap nikmat kebahagiaan, keharmonian dan kemakmuran.

Disumbangkan oleh Cikgu Mansor bin Tajuddin

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.

KARANGAN CONTOH GRED A

Tajuk karangan: Destinasi pelancongan bersejarah

Format karangan: Surat kiriman tidak rasmi

7, Jalan Nirvana,

Taman Nirvana,

71000 Melaka.

18 JULAI 2010.

Menemui sahabatku Dayang yang kini berada di Burnei, semoga sihat sentiasa. Saya sekeluarga di sini berada dalam keadaan sihat wal afiat.

Saudari,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana sudi menulis surat kepada saya tempoh hari. Saya kagum akan keistimewaan negara saudari. Dalam warkah saudari yang lepas, saudari ingin mengetahui keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Dalam warkah saya ini, saya akan menceritakan sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan nilai sejarah.

Salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal sebagai tempat bersejarah ialah negeri Melaka. Dengan kata lain, bagi mereka yang ingin menghayati tempat-tempat yang penuh dengan nilai sejarah, Melaka merupakan destinasi yang paling ideal. Selain sebagai tempat yang bersejarah, Melaka juga tersohor sebagai negeri yang kaya dengan tempat pelancongan, pusat beli-belah, dan rekreasi.

Saudari,

Melaka sememangnya kaya dengan kesan sejarahnya yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 5 kurun yang lalu bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, dan era Kolonial Inggeris. Berhampiran dengan muara Sungai Melaka, medan bandar yang indah dengan bangunan-bangunan peninggalan Belanda yang berwarna merah dapat kita lihat. Di sini terdapat sebuah bangunan yang dahulunya pernah didiami oleh Gabenor Belanda, iaitu bangunan Stadhuys, yang telah dibina pada tahun 1650. Tidak jauh dari situ, kita akan melihat sebuah gereja yang besar, iaitu Christ Church, yang telah dibina pada tahun 1793. Gereja ini merupakan sebuah gereja Protestan yang tertua di Malaysia. Di kawasan medan ini juga, para pelancong dapat melihat sebuah menara jam yang bersejarah pada abad yang ke-19 dan sebuah Pancutan Air Ratu Victoria yang menarik ciptaannya.

Selain Gereja Christ Church, terdapat sebuah gereja lagi di Jalan Laksamana, iaitu Gereja St. Francis Xavier yang telah dibina pada tahun 1849. Manakala di atas Bukit St.Paul pula tersergam indah Gereja St. Paul. Di pekarangan gereja ini, para pengunjung dapat melihat sebuah boneka untuk memperingati St. Xavier dan kuburnya yang kosong. Di kaki bukit ini jelas dapat dilihat peninggalan pintu gerbang terakhir kubu Portugis yang kuat, iaitu A Famosa yang telah dibina pada pertengahan abad ke-16. Tidak jauh dari pintu gerbang ini, sebuah istana lama telah dibina semula berdasarkan istana Sultan Mansor Shah. Berhampiran dengan istana ini juga tersergam indah sebuah bangunan lama yang dinamakan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang dijadikan sebuah muzium untuk memperingati sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Saudari,

Untuk pengetahuan saudari, tempat-tempat pelancongan yang lain yang mesti dikunjungi para pelancong termasuklah Bukit China, Dataran Belanda, Jonker Street, Melaka Street, Muzium Maritim Melaka, Taman Mini Malaysia, Masjid Pulau Melaka, Seri Malaysia Melaka, dan sebagainya. Di samping itu, negeri Melaka kaya dengan makanan tradisional, kebudayaan, dan perayaan keagamaan.

Jadi, saya berharap bahawa jika saudari ingin menghayati keisitimewaan destinasi pelancongan ini, bolehlah datang sendiri ke negeri ini.  Sebagai sahabat yang setia, saya mengalu-alukan kedatangan saudari dengan tangan terbuka. Luangkanlah sedikit masa dan kunjungilah negeri Melaka Bandar Bersejarah ini. Kata orang tua-tua, “Jauh perjalanan luas pemandangan!”.

Sampai di sini sahaja coretan saya buat saudari di sana. Dalam warkah ini, telah saya sertakan beberapa keping gambar tempat-tempat bersejarah. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam lembaran yang akan datang.

Sahabatmu,

Wahida

Disumbangkan oleh Cikgu Wahida binti Che’ Din

Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, jika nyatakan sumbernya. Kerjasama anda dihargai.