Pengetahuan & Kemahiran Bahasa (2)


Janganlah terhantuk baru tengadah!!! Demikianlah nasihat dan teguran ibu bapa kita. Malangnya, pesanan ini “didengar ada, dipakai tidak”. Sebagai bakal calon SPM, anda patut membuat persiapan yang sewajar, yakni banyak membuat LATIHAN, agar anda dapat membaiki kelemahan anda. Jika anda banyak membuat latihan bermakna “separuh daripada pertempuran telah dimenangi”.

NOTA: Munsyi Bahasa Melayu dibenarkan memanfaatkan PRAKTIS KENDIRI ini untuk P&P dalam kelas.

PRAKTIS KENDIRI 1: MEMBINA AYAT

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (1)

(i)     menemui                                –               menemukan

(ii)   mendalami                             –               mendalamkan

(ii)   menjalani                                –               menjalankan

[6 markah]

Aspek Membina Ayat : Kata Majmuk (2)

(i)   janji temu

(ii)  pokok pangkal

(iii) penyumbang utama

(iv) pangkuan keluarga

(v)  alat pandang dengar

(vi) pas lawatan sosial

[6 markah]

JAWAPAN

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (1)

(i)     Saya bercadang untuk menemui guru kaunseling untuk membincangkan masalah pelajaran.

(ii)   Polis telah menemukan kereta yang digunakan oleh perompak itu di sebuah ladang getah.

(iii) Sebagai pakar bahasa, beliau tekun mendalami bidang lingiustik.

(iv) Dia pergi ke London untuk mendalamkan pengetahuannya dalam bidang perubatan.

(v)  Amin membuka syarikatnya sendiri setelah menjalani kursus perniagaan selama dua tahun.

(vi) Pak Leman tidak berasa susah atau berat untuk menjalankan tugasnya sbg seorang penarik beca.

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (2)

(i)    Beliau tidak dapat menghadiri janji temu kerana ada urusan penting.

(ii)  Keruntuhan rumah tangga merupakan pokok pangkal masalah sosial dalam kalangan remaja.

(iii) Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

(iv) Alat pandang dengar ataupun media massa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita.

(v)  Setelah menjalani pemulihan di pusat pemulihan akhlak, dia pun pulang ke pangkuan keluarga.

(vi) Warga Indonesia itu ditahan oleh pegawai polis  kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Disumbangkan oleh Cikgu Mazlan bin Mat Noh (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com


PRAKTIS KENDIRI 2 : MENGANALISIS AYAT

Baca petikan di bawah ini dan kemudian jawapan soalan-soalan berikutnya.

KOTA BAHARU, 22 Ogos — [1] Seorang pelajar tahun dua cedera ringan di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola dijumpainya meletup. [2] Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan menjumpai mercun berkenaan. [3] Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu. [4] Mereka mencampakkannya ke dalam api yang telah dibakar dengan kertas. [5] Hal ini menyebabkan mercun itu meletup. [6] Serpihan bahangnya terkena mangsa.

(i)  Berdasarkan ayat [1], nyatakan frasa nama subjek dan klausa bawahan.

[2 markah]

Frasa nama subjek: ………………………………………………………………………..

Klausa bawahan: …………………………………………………………………………..

(ii) Berdasarkan ayat [2], nyatakan frasa kerja intransitif dan frasa kerja transitif.

[2 markah]

Frasa kerja intransitif : ………………………………………………………………………

Frasa kerja transitif: ………………………………………………………………………….

(iii) Pancangkan ayat [3] hingga ayat [6] untuk menjadi ayat majmuk.

[2 markah]

…………………………………………………………………………………………………………

………………………………………………………………………………………………………..

………………………………………………………………………………………………………..

JAWAPAN

(i)  Frasa nama subjek: Seorang pelajar tahun dua [1m]

Klausa bawahan: apabila mercun bola dijumpainya meletup [1m]

(ii) Frasa kerja intransitif: sedang bermain [1m]

Frasa kerja transitif:  menjumpai mercun berkenaan [1m]

(iii) Ayat Mamjuk: Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkannya ke dalam api yang telah dibakar dengan kertas menyebabkan mercun itu meletup dan serpihan bahangnya terkena mangsa.

NOTA: Tahun ini mungkin ada KEJUTAN; kemungkinan bentuk soalan di atas akan diketengahkan. Berikan perhatian kepada jenis-jenis kata, ayat dan klausa.

Disumbangkan oleh Cikgu Sabrini bin Mansur Abdullah

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com

PRAKTIS KENDIRI 3

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (1)

(i)  Wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan kerana menyalahgunakan pas kunjungan sosial mereka di dalam serbuan polis di sebuah pusat     urut tradisional.

(ii) Kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan pemberiankemudahan visa sewaktu ketibaan kepada para-para pelancong asing mulai hari ini.

(iii) Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh daripada meja direman selama tiga hari bagi membantu kajian.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (2)

(i)  Dua orang wanita maut sementara dua orang rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki tergelincir lalu merempuh tiang papan tanda.

(ii) Beliau turut mendesak orang ramai di sekitar kawasan berdekatan supaya menghubungi polis sekiranya ternampak pendatang asing yang di dalam keadaan mencurigakan.

(iii) Jangan hanya kerana kepentingan politik yang sempit, ada di dalam kalangan kita sanggup menggadaikan keharmonian kaum dan masa depan negara.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (3)

(i)  Saya amat mengalu-alukan tugas pelbagai pihak membantu kerajaan memperkukuh perpaduan dengan pelbagai program yang bermanfaat.

(ii) Kemelesetan pelaburan langsung asing  ke negara ini adalah disebabkan pelabur asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan

(iii) Keadaan ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat tergugat ekoran krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya yang menganggur.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (4)

(i)  Perkahwinan merupakan kemuncak ikatan kasih sayang antara teruna dan dara selepas sekian lama menghayati hati budi masing-masing.

(ii) Hasil kaji siasat terhadap mayat itu, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras pada belakang kepalanya

(iii) Gejala bekalan air yang kritikal mengganggu kelancaran operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan di dalam hospital berkenaan.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (5)

(i)  Dua orang pekerja warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan menempuh maut selepas tertimbus di dalam tapak pembinaan loji kumbahan.

(ii) Seramai 1,490 orang rakyat negara ini sedang menjalani hukuman penjara di pelbagai negara-negara dengan hampir separuh daripadanya kerana kesalahan penjualan dadah.

(iii) Kerajaan Pusat akan mengedarkan wang ihsan sebanyak RM14 juta pada 70,000 orang pelajar yang layak sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

JAWAPAN

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (1)

(i)   kunjungan sepatutnya lawatan ; di dalam sepatutnya dalam

(ii)  memansuhkan sepatutnya membatalkan ; para-para sepatutnya para

(iii) kajian sepatutnya siasatan ; daripada sepatutnya dari

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (2)

(i)   terpesong sepatutnya terbabas ; sementara sepatutnya manakala

(ii)  mendesak sepatutnya menggesa/menyeru/meminta ; di dalam  sepatutnya dalam

(iii) menggadaikan sepatutnya mengorbankan ; di dalam sepatutnya dalam

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (3)

(i)   tugas sepatutnya peranan ; program-program sepatutnya program

(ii)  kemelesetan sepatutnya kemerosotan/kesusutan ; adalah disebabkan sepatutnya disebabkan

(iii) tergugat sepatutnya terjejas ; ramai sepatutnya banyak

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (4)

(i)   menghayati sepatutnya menyelami/memahami ; dan sepatutnya dengan

(ii)  kaji siasat sepatutnya bedah siasat ; pada sepatutnya di

(iii) gejala sepatutnya masalah ; di dalam sepatutnya di

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (5)

(i)   menempuh sepatutnya menemui ; di dalam sepatutnya di

(ii)  penjualan sepatutnya pengedaran ; negara-negara sepatutnya negara

(iii) mengedarkan sepatutnya mengagihkan ; pada sepatutnya kepada

Disumbangkan oleh Cikgu Mohd Salleh bin Khairuddin (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh www.karanganspm.com

PRAKTIS KENDIRI 4: ASPEK PERIBAHASA


Isikan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

(i)     Penduduk kampung itu menghadapi pelbagai kesulitan untuk meneruskan pembinaan jambatan iitu tetapi mereka tidak pernah putus asa kerana bagi mereka ______________________________

(ii)    Walaupun Pak Johari sudah lama meninggal dunia, penduduk kampung masih ingat akan jasa dan baktinya kepada kemajuan kampung itu, bak kata pepatah _________________________________

(iii)   “Kalau kamu benar-benar ingin belajar muzik, belajarlah daripada guru yang bertauliah. Kata orang ________________________________________,” kata Puan Mariam kepada anaknya yang asyik dengan gitarnya.

[6 markah]

JAWAPAN

(i)  Genggam bara api biar sampai jadi arang

(= Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya)

(ii) hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga

(=Budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan orang walaupun sudah mati)

(iii) hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai

(=Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang ahli dalam perkara itu)

NOTA: Kemungkinan aspek peribahasa yang ditanyakan ialah (i) nyatakan peribahasa untuk maksud peribahasa yang diberikan; atau (ii) nyatakan peribahasa yang sama atau hampir sama maksud.

Disumbangkan oleh Cikgu Mohd Salleh bin Khairuddin (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com