Archive | August, 2010

Isu Pelancongan

Posted on 28 August 2010 by munsyi bahasa

Dasar Kementerian Pelancongan Malaysia

Visi

  1. Membangunkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Misi

  1. Bekerjasama dengan semua penggiat industri untuk meletakkan industri pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lestari.

Dasar Pelancongan Negara

  1. Menjadikan Industri Pelancongan Negara sebagai satu sektor utama, lestari, berdaya maju dan berkualiti dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

Objektif

  1. Meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara
  2. Memperkasakan komuniti luar bandar melalui aktiviti pelancongan luar bandar
  3. Memangkin pembangunan 1Malaysia melalui aktiviti pelancongan

Fungsi

  1. Menggubal dasar pelancongan negara bagi mencapai visi, misi dan objektif kementerian
  2. Melaksanakan dasar-dasar berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan industri pelancongan
  3. Menyeleras, memantau dan menilai keberkesanan program dan projek pelancongan

AGROPELANCONGAN

  1. Agropelancongan merupakan satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan kepada para pelancong. Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai.
  2. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini ialah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, inap desa (homestay) dan sebagainya.
  3. Agensi utama yang membangunkan agropelancongan ialah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi.

Laman ini dalam proses pembikinan!

Comments Off

Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa (1)

Posted on 18 August 2010 by Admin

Soalan 3(a):Membina ayat daripada enam perkataan yang dikemukakan

Soalan 3(b): Menukarkan ayat, menyambungkan ayat, memisahkan ayat, dan menganalisis ayat

Soalan 3(c): Mengenal pasti kesalahan ejaan dan imbuhan

Soalan 3(d): Mengenal pasti kesalahan kata/istilah dan kesalahan bahasa

Soalan 3(e): Peribahasa

Para pelajar,

Banyak pelajar yang tidak mahir dalam pembinaan ayat. Jawapan yang ditampilkan tidak memuaskan dari segi maksud dan penggunaannya, yakni taksa. Implikasinya, markah penuh tidak diberikan.

Kesalahan yang kerap ditemukan ialah:

  • tidak dapat membina ayat yang jelas maksud dan penggunaanya;
  • membina ayat yang sama maksud;
  • kesalahan bahasa amat ketara; dan
  • kesalahan mekanis juga terserlah.

SOALAN 3 (a): ASPEK MEMBINA AYAT

CONTOH SOALAN SPM

SOALAN 3(b): ASPEK SINTAKSIS

Sepanjang pengalaman saya, pelajar SPM memandang ringan terhadap aspek sistem bahasa, khususnya aspek sintaksis. Jawapan pelajar cukup lemah sehingga mendedahkan kejahilan pelajar tentang pengetahuan bahasa dan kemahiran tatabahasa.

Sebagai bukti, sila cuba menjawab soalan ini.

Boleh? Jika tidak, AWAS! Janganlah terhantuk baru tengadah!!!

TIPSPM 2010: Satu bentuk aspek soalan menukarkan ayat yang TIDAK HARUS DIABAIKAN ialah AYAT SONSANG.  Demi memudahkan pemahaman konsep ayat songsang, formula menukarkan ayat susunan biasa kepada ayat susunan songsang telah saya paparkan di bawah.

SOALAN 3 (c) : ASPEK MEMBETULKAN KESALAHAN EJAAN DAN PENGGUNAAN IMBUHAN.

Para pelajar juga lemah dari segi ejaan dan morfologi, khususnya kata terbitan ataupun kata berimbuhan. Ingat, alah bisa tegal biasa!

Adakah anda sudah beriap siaga untuk BMSPM? Cuba latihan ini.

Ketika menjawab aspek ini, anda hanya perlu mencatat kesalahan dan menyatakan pembetulan (jawapan yang betul).  Dengan erti kata lain, seluruh ayat tidak perlu disalin. Ingat, anda tidak boleh mencatat lebih daripada dua kesalahan; pastikan anda hanya membetulkan satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan.

SOALAN 3 (d): ASPEK MEMBETULKAN KATA/ISTILAH DAN TATABAHASA

Rata-rata pelajar / calon SPM menampilkan jawapan yang agak mengecewakan. Hal ini demikian kerana anda tidak dapat mengenal pasti kesalahan sistem bahasa/tatabahasa dengan tepat gara-gara penguasaan bahasa yang lemah.

Besarlah harapan saya bahawa anda akan memperbanyak latihan aspek ini. Sediakanlah payung sebelum hujan!

PERINGATAN!

Soalan 3(d) menguji anda tentang kesalahan penggunaan kata/istilah dan tatabahasa sahaja. Maka, janganlah membetulkan imbuhan (mengurus sepatutnya menguruskan) ataupun membetulkan ejaan (sampah sarap sepatutnya sampah-sarap). Kesalahan ini kerap dilakukan oleh para pelajar.

SOALAN 3(e): ASPEK PERIBAHASA

Salah lagi aspek bahasa yang dibenci oleh para pelajar ialah peribahasa. Seandainya anda benci akan peribahasa, masakan anda dapat menguasainya. Anda seharusnya menghayati peribahasa Melayu dan berprakarsa untuk mempelajarinya. Ingat, yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang!

TIP SPM: Pelajarilah semua peribahasa yang terkandung dalam BUKU TEKS BAHASA MELAYU TINGKATAN 4 & 5.

Comments (4)

Ujian Lisan Berkumpulan (Format Forum)

Posted on 18 August 2010 by munsyi bahasa

UJIAN LISAN BERKUMPULAN
PERBINCANGAN ILMIAH: FORUM

TAJUK: MELESTARIKAN ALAM SEKITAR
Sumber: BLOG CIKGU JANA IBRAHIM

Disunting oleh: CIKGU IBRAHIM SAAD (Munsyi Dewan)

NOTA: Besarlah harapan saya bahawa para pelajar dapat memanfaatkan format forum ini, bukannya ‘copy-and-paste’ karya orang lain.

CONTOH FORUM

Dewasa  ini, arus modenisasi memesatkan pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar sudah terjejas. Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati mak, diluah mati bapa”.  Untuk melihat isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekitar Daerah Johor Bahru sempena kempen “Sayangi Bumi Kita”

Pengerusi: Salam sejahtera kepada hadirin sekalian.  Saya Profesor Nasir Ibrahim mengucapkan selamat datang kepada semua yang ada di sini. Semoga kedatangan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ilmu ini diberkati Tuhan.  Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekitar Johor Bahru mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita. Visual yang ditayangkan kepada kita sebentar tadi menunjukkan betapa hebatnya serangan pencemaran di seantero dunia. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.

Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih spesifik dan bermaklumat, penganjur telah menngundang tiga orang tokoh yang terlibat dalam pelestarian alam sekitar secara langsung, iaitu di sebelah kanan saya ialah Datuk Muhammad Hafiz Ali,  Pengarah Jabatan Metreolagi Malaysia.  Di sebelah kiri pula ialah Dr. Wong Xin Yi, aktivis pencinta alam yang sangat aktif di peringkat antarabangsa. Beliau bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Alam Sekitar , Universiti Sains Malaysia. Di hujung sana pula, Datuk Aisyamariam Ulza , Setiausaha Kerja bagi Kementerian Sains dan Alam Sekitar, Putrajaya.

Selamat datang semuanya ke majlis ini. Baiklah, semua yang berlaku mesti ada pokok pangkalnya, begitu juga dengan isu ini. Terlalu banyak pendapat yang diutarakan tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu,  kita dengar pendapat Dr. Wong Xin Yi tentang persoalan ini.  Silakan Doktor.

Dr. Wong Xin Yi: Terima kasih Profesor Nasir . Sebelum saya membincangkan punca-puncanya,  saya rasa lebih baik diterangklan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan kemudaratan apabila digunakan.

Punca-punca yang diwartakan  sebagai penyebab pencemaran terbahagi kepada dua jenis.  Pertama,  pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi dan kedua, Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia.

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi, dan sebagainya.  Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja. Antaranya ialah pencemaran udara;  contohnya  gas-gas beracun dan zarah-zarah yang terperangkap hasil daripada asap kenderaan, jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka, dan sebagainya. Pencemaran air pula disebabkan oleh pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya.  Pencemaran tanah pula berpunca daripada pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia, dan sisa-sisa pepejal .

Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90 -95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya. Hal ini bermakna, jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita. Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut.  Lebih 90% daripada punca pencemaran laut disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% berpunca daripada sektor perkapalan. Dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk  “Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia”, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55) Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan  sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi,  pengeksploitasian hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, perternakan, dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .

Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding dengan kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran,  saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih Dr. Wong Xin Yi kerana memberikan pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan. Yang menyedihkan ialah semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada Dato’  Muhammad Hafiz Ali.  Silakan Datuk.

Dato’ M. Hafiz Ali: Terima kasih saudara Nasir. Tentang kesan buruk pencemaran ini,  saya berpendapat bahawa semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau melayari Internet. Kesan yang amat dirasai sekarang gara-gara pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia. Ribut taufan, misalnya,  berlaku dengan amat kerap.  Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau,  pemusnahan ozon dan hujan asid.  Sementara itu, pengeluaran gas monoksida, iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup.  Sejenis  unsur lagi yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum, iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak .

Seterusnya, kita lihat pula kesan pencemaran air.  Saya ambil bukti yang berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul.  Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.  Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan. Penyakit ini seterusnya dikenali sebagai penyakit Minamata.

Kesan pencemaran bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberikan kesan kepada hidupan yang lain. Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh hidupan akuatik di perairan cetek ialah kesan tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran dengan persisiran pantai,  lapisan minyak yang mengancam hidupan laut serta burung terbentuk. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurangkan pembiakan makanan laut  dalam jangka panjang akan mengancam sumber pendapatan ataupun periuk nasi nelayan.

Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal  serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut. Demikianlah sedikit banyak pendapat saya saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih Dato’. Nampaknya, dampak ataupun impak pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita yang tidak diselia rapi . Oleh itu, beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini.  Saya mempersilakan Datuk Aisyamariam Ulza memperkatakan langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh kementeriaan beliau.

Datuk Aisyamariam: Terima kasih dan salah sejahtera semua. Apabila disebut Kementerian Sains & Alam Sekitar ini, yang tergambar ialah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif  selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana.

Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telah pun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada minyak ini praktikal ataupun tidak,  alternatif  ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka. Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar . Objektif  kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tertumpah di perairan Malaysia . Demikianlah sahaja,  antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.

Pengerusi: Demikianlah pandangan-pandangan daripada panel jemputan kita pada kali ini.  Semoga,  segala maklumat yang diperoleh dalam malis ilmu ini memberikan kesedaran kepada kita. Yang dapat disimpulkan ialah pencemaran sebenarnya hasil kerja tangan-tangan rakus sebahagian daripada kita.  Sewajarnya kita sedar bahawa bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu, sama-sama kita memulihara keindahan alam sekitar kita. Sekian, terima kasih.

Comments (2)

Pengetahuan & Kemahiran Bahasa (2)

Posted on 17 August 2010 by munsyi bahasa

Janganlah terhantuk baru tengadah!!! Demikianlah nasihat dan teguran ibu bapa kita. Malangnya, pesanan ini “didengar ada, dipakai tidak”. Sebagai bakal calon SPM, anda patut membuat persiapan yang sewajar, yakni banyak membuat LATIHAN, agar anda dapat membaiki kelemahan anda. Jika anda banyak membuat latihan bermakna “separuh daripada pertempuran telah dimenangi”.

NOTA: Munsyi Bahasa Melayu dibenarkan memanfaatkan PRAKTIS KENDIRI ini untuk P&P dalam kelas.

PRAKTIS KENDIRI 1: MEMBINA AYAT

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (1)

(i)     menemui                                -               menemukan

(ii)   mendalami                             –               mendalamkan

(ii)   menjalani                                -               menjalankan

[6 markah]

Aspek Membina Ayat : Kata Majmuk (2)

(i)   janji temu

(ii)  pokok pangkal

(iii) penyumbang utama

(iv) pangkuan keluarga

(v)  alat pandang dengar

(vi) pas lawatan sosial

[6 markah]

JAWAPAN

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (1)

(i)     Saya bercadang untuk menemui guru kaunseling untuk membincangkan masalah pelajaran.

(ii)   Polis telah menemukan kereta yang digunakan oleh perompak itu di sebuah ladang getah.

(iii) Sebagai pakar bahasa, beliau tekun mendalami bidang lingiustik.

(iv) Dia pergi ke London untuk mendalamkan pengetahuannya dalam bidang perubatan.

(v)  Amin membuka syarikatnya sendiri setelah menjalani kursus perniagaan selama dua tahun.

(vi) Pak Leman tidak berasa susah atau berat untuk menjalankan tugasnya sbg seorang penarik beca.

Aspek Membina Ayat: Kata Yang Berimbuhan (2)

(i)    Beliau tidak dapat menghadiri janji temu kerana ada urusan penting.

(ii)  Keruntuhan rumah tangga merupakan pokok pangkal masalah sosial dalam kalangan remaja.

(iii) Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

(iv) Alat pandang dengar ataupun media massa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita.

(v)  Setelah menjalani pemulihan di pusat pemulihan akhlak, dia pun pulang ke pangkuan keluarga.

(vi) Warga Indonesia itu ditahan oleh pegawai polis  kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Disumbangkan oleh Cikgu Mazlan bin Mat Noh (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com


PRAKTIS KENDIRI 2 : MENGANALISIS AYAT

Baca petikan di bawah ini dan kemudian jawapan soalan-soalan berikutnya.

KOTA BAHARU, 22 Ogos — [1] Seorang pelajar tahun dua cedera ringan di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola dijumpainya meletup. [2] Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan menjumpai mercun berkenaan. [3] Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu. [4] Mereka mencampakkannya ke dalam api yang telah dibakar dengan kertas. [5] Hal ini menyebabkan mercun itu meletup. [6] Serpihan bahangnya terkena mangsa.

(i)  Berdasarkan ayat [1], nyatakan frasa nama subjek dan klausa bawahan.

[2 markah]

Frasa nama subjek: ………………………………………………………………………..

Klausa bawahan: …………………………………………………………………………..

(ii) Berdasarkan ayat [2], nyatakan frasa kerja intransitif dan frasa kerja transitif.

[2 markah]

Frasa kerja intransitif : ………………………………………………………………………

Frasa kerja transitif: ………………………………………………………………………….

(iii) Pancangkan ayat [3] hingga ayat [6] untuk menjadi ayat majmuk.

[2 markah]

…………………………………………………………………………………………………………

………………………………………………………………………………………………………..

………………………………………………………………………………………………………..

JAWAPAN

(i)  Frasa nama subjek: Seorang pelajar tahun dua [1m]

Klausa bawahan: apabila mercun bola dijumpainya meletup [1m]

(ii) Frasa kerja intransitif: sedang bermain [1m]

Frasa kerja transitif:  menjumpai mercun berkenaan [1m]

(iii) Ayat Mamjuk: Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkannya ke dalam api yang telah dibakar dengan kertas menyebabkan mercun itu meletup dan serpihan bahangnya terkena mangsa.

NOTA: Tahun ini mungkin ada KEJUTAN; kemungkinan bentuk soalan di atas akan diketengahkan. Berikan perhatian kepada jenis-jenis kata, ayat dan klausa.

Disumbangkan oleh Cikgu Sabrini bin Mansur Abdullah

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com

PRAKTIS KENDIRI 3

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (1)

(i)  Wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan kerana menyalahgunakan pas kunjungan sosial mereka di dalam serbuan polis di sebuah pusat     urut tradisional.

(ii) Kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkan pemberiankemudahan visa sewaktu ketibaan kepada para-para pelancong asing mulai hari ini.

(iii) Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh daripada meja direman selama tiga hari bagi membantu kajian.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (2)

(i)  Dua orang wanita maut sementara dua orang rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki tergelincir lalu merempuh tiang papan tanda.

(ii) Beliau turut mendesak orang ramai di sekitar kawasan berdekatan supaya menghubungi polis sekiranya ternampak pendatang asing yang di dalam keadaan mencurigakan.

(iii) Jangan hanya kerana kepentingan politik yang sempit, ada di dalam kalangan kita sanggup menggadaikan keharmonian kaum dan masa depan negara.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (3)

(i)  Saya amat mengalu-alukan tugas pelbagai pihak membantu kerajaan memperkukuh perpaduan dengan pelbagai program yang bermanfaat.

(ii) Kemelesetan pelaburan langsung asing  ke negara ini adalah disebabkan pelabur asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan

(iii) Keadaan ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat tergugat ekoran krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya yang menganggur.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (4)

(i)  Perkahwinan merupakan kemuncak ikatan kasih sayang antara teruna dan dara selepas sekian lama menghayati hati budi masing-masing.

(ii) Hasil kaji siasat terhadap mayat itu, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras pada belakang kepalanya

(iii) Gejala bekalan air yang kritikal mengganggu kelancaran operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan di dalam hospital berkenaan.

[6 markah]

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (5)

(i)  Dua orang pekerja warga Bangladesh yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan menempuh maut selepas tertimbus di dalam tapak pembinaan loji kumbahan.

(ii) Seramai 1,490 orang rakyat negara ini sedang menjalani hukuman penjara di pelbagai negara-negara dengan hampir separuh daripadanya kerana kesalahan penjualan dadah.

(iii) Kerajaan Pusat akan mengedarkan wang ihsan sebanyak RM14 juta pada 70,000 orang pelajar yang layak sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

JAWAPAN

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (1)

(i)   kunjungan sepatutnya lawatan ; di dalam sepatutnya dalam

(ii)  memansuhkan sepatutnya membatalkan ; para-para sepatutnya para

(iii) kajian sepatutnya siasatan ; daripada sepatutnya dari

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (2)

(i)   terpesong sepatutnya terbabas ; sementara sepatutnya manakala

(ii)  mendesak sepatutnya menggesa/menyeru/meminta ; di dalam  sepatutnya dalam

(iii) menggadaikan sepatutnya mengorbankan ; di dalam sepatutnya dalam

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (3)

(i)   tugas sepatutnya peranan ; program-program sepatutnya program

(ii)  kemelesetan sepatutnya kemerosotan/kesusutan ; adalah disebabkan sepatutnya disebabkan

(iii) tergugat sepatutnya terjejas ; ramai sepatutnya banyak

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (4)

(i)   menghayati sepatutnya menyelami/memahami ; dan sepatutnya dengan

(ii)  kaji siasat sepatutnya bedah siasat ; pada sepatutnya di

(iii) gejala sepatutnya masalah ; di dalam sepatutnya di

Membetulkan Kesalahan Penggunaan Kata/Istilah Dan Tatabahasa (5)

(i)   menempuh sepatutnya menemui ; di dalam sepatutnya di

(ii)  penjualan sepatutnya pengedaran ; negara-negara sepatutnya negara

(iii) mengedarkan sepatutnya mengagihkan ; pada sepatutnya kepada

Disumbangkan oleh Cikgu Mohd Salleh bin Khairuddin (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh www.karanganspm.com

PRAKTIS KENDIRI 4: ASPEK PERIBAHASA


Isikan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

(i)     Penduduk kampung itu menghadapi pelbagai kesulitan untuk meneruskan pembinaan jambatan iitu tetapi mereka tidak pernah putus asa kerana bagi mereka ______________________________

(ii)    Walaupun Pak Johari sudah lama meninggal dunia, penduduk kampung masih ingat akan jasa dan baktinya kepada kemajuan kampung itu, bak kata pepatah _________________________________

(iii)   “Kalau kamu benar-benar ingin belajar muzik, belajarlah daripada guru yang bertauliah. Kata orang ________________________________________,” kata Puan Mariam kepada anaknya yang asyik dengan gitarnya.

[6 markah]

JAWAPAN

(i)  Genggam bara api biar sampai jadi arang

(= Membuat sesuatu pekerjaan yang susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaannya)

(ii) hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga

(=Budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan orang walaupun sudah mati)

(iii) hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai

(=Hendak mengetahui sesuatu perkara bertanyalah kepada orang yang ahli dalam perkara itu)

NOTA: Kemungkinan aspek peribahasa yang ditanyakan ialah (i) nyatakan peribahasa untuk maksud peribahasa yang diberikan; atau (ii) nyatakan peribahasa yang sama atau hampir sama maksud.

Disumbangkan oleh Cikgu Mohd Salleh bin Khairuddin (Guru Cemerlang)

Hak Cipta Terpelihara oleh karanganspm.com

Comments Off

Genre Cerpen/Drama dalam KOMSAS

Posted on 16 August 2010 by Admin

Salam 1Malaysia.
Satu lagi genre yang cukup penting dalam KOMSAS ialah genre cerpen/drama. Usahlah asyik berjinak-jinak dengan subjek Kimia, Biologi, Fizik, dan sebagainya sehingga mata pelajaran BM dianaktirikan. Cikgu bimbang kalau-kalau anda beroleh A+ untuk semua subjek, kecuali BMSPM. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.

Soalan ini terbahagi kepada tiga ceraian:

Soalan (i): Kontekstual (pemahaman teks / maksud rangkai kata), misalnya:

  • Apakah pengalaman-pengalaman hidup Mek Bongsu setelah berkahwin dengan Saudagar Syah Alam [3 markah]

Skema Jawapan:

  • menikmati kemewahan dan kesenangan [1m]
  • tidak menghiraukan kehidupan masyarakat di luar [1m]
  • menyesali sikapnya yang leka dengan kemewahan [1m]

Soalan (ii): Kemahiran berfikir (soalan ini menguji kematangan pemikiran), misalnya:

  • Seandainya anda orang yang berharta, bagaimanakah anda akan menghargai rezeki yang dikurniakan itu? [3 markah]

Skema Jawapan:

  • menubuhkan suatu tabung kebajikan untuk membantu fakir miskin, mangsa bencana, dan pesakit kronik [1m]
  • menubuhkan suatu yayasan pendidikan untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan [1m]
  • melabur dalam institusi kewangan yang berdaftar [1m]

Soalan (iii): Soalan KOMSAS (menguji pengetahuan anda tentang aspek-aspek sastera), misalnya

  • Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama dan dua pengajaran lagi daripada keseluruhan drama tersebut. [4 markah]

Skema Jawapan:

Pengajaran berdasarkan petikan:

  • janganlah kita leka dengan kemewahan sehingga tidak membantu orang lain sebagaimana Mek Bongsu menikmati kekayaan sehingga mengabaikan masyarakat lain sejak berkahwin.

Pengajaran dalam teks drama:

  • kita hendaklah mengamalkan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat sebagaimana Peran dan Bidan Tuh Mah menolong penduduk kampung yang buta [1m]
  • janganlah terlalu bertindak mengikut emosi terhadap makhluk lain sebagaimana rama-rama yang diburu sanggup menyelamatkan Raja [1m]

SKEMA PEMARKAHAN

  1. Gunakanlah ayat sendiri;
  2. Binalah ayat  yang sempurna / lengkap; jika tidak 1/2 markah dipotong;
  3. Jika disalin bulat-bulat (copy-and-paste) daripada teks dan jawapan itu tepat / betul, hanya separuh ( 50% ) markah akan diberikan;
  4. ½ markah akan dipotong untuk kesalahan bahasa / ejaan.

PERBEZAAN KATA TUGAS DALAM SOALAN BERBENTUK KOMSAS

SPM 2008 (N)
BERIKAN satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [3m]

KEHENDAK SOALAN: Berikan persoalan sahaja tanpa  contoh atau huraian lanjut, misalnya:
[Isi 1] : Beradasarkan petikan, persoalan yang ditampilkan ialah ……………(persoalan) ……………….. [1m]
[Isi 2]: Dalam keseluruhan cerpen, persoalan pertama ialah ………………….(persoalan)………………..  [1m]
[Isi 3] : Terdapat juga persoalan  ………………………………….. (persoalan) …………………. [1m]

SPM 2009 (J)
HURAIKAN satu persoalan yang terdapat dalam petikan drama tersebut dan satu persoalan lain daripada keseluruhan drama. [4m]

KEHENDAK SOALAN: Nyatakan persoalan serta contoh, misalnya:
[Isi 1] Dalam petikan drama, persoalan yang dipaparkan ialah ………(persoalan)………………….. [1m]; …………… (contoh) ………………. [1m]
[Isi 2] Persoalan yang terdapat dalam keseluruhan drama pula ……………… (persoalan) ………… [1m]; ………….(contoh) ……………….. [1m]

SPM 2009 (N)
JELASKAN satu latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. [4m]

KEHENDAK SOALAN: Nyatakan latar tempat serta contoh, misalnya:

[Isi 1]: Dalam petikan cerpen, antara latar tempat ialah  ……………… (latar tempat) ………[1m]; …………………. [contoh peristiwa]……………… [1m]
[Isi 2] Dalam keseluruhan cerpen pula, terdapat  ………………… (latar tempat) …………..[1m]; …………………. [contoh peristiwa]……………….. [1m]

SPM 2010 (J)
NYATAKAN dua pengajaran dalam petikan di atas dan dua pengajaran lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4m]

KEHENDAK SOALAN: Nyatakan pengajaran sahaja, huraian/contoh tidak perlu, misalnya:
[Isi 1]: Dalam petikan drama, pengajaran yang terdapat ialah kita hendaklah ………………………………………… (pengajaran) ………………………… [1m]

[Isi 2]:Terdapat juga pengajaran bahawa kita sewajarnya ………………………………… (pengajaran)…………………………. [1m]

[Isi 3]: Berdasarkan drama tersebut, pengajaran yang terdapat ialah kita seharusnya ……………………..(pengajaran) ……………………… [1m]
[Isi 4]: Pengajaran lain termasuklah kita sepatutnya ……………………………. (pengajaran) ………………………………………….[1m]

NOTA IMBUHAN:

  1. Mana-mana nilai, pengajaran, persoalan atau perwatakan yang terdapat dalam petikan TIDAK BOLEH dijadikan isi jawaban untuk karya keseluruhan (cerpen atau drama keseluruhan); dan
  2. Sentiasa menulis jawaban dalam ayat yang lengkap/ gramatis ( ayat mempunyai subjek dan predikat) agar TIDAK KEHILANGAN MARKAH.

SUMBER/SUMBANGAN: CIKGU ABD. RAZAK BIN HASSAN

Comments (6)

Karangan Respons Terbuka / Umum

Posted on 15 August 2010 by Admin

Menu Khas ke Arah Kecemerlangan Karangan Respons Terbuka

Karangan yang ditulis mesti mempunyai introduksi yang efektif dan kreatif. Malangnya, banyak calon SPM yang tidak berinisiatif/berprakarsa untuk meningkatkan kualiti penulisan karangan, khasnya pendahuluan. Rata-rata pendahuluan merupakan stereotaip, yakni tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri yang baru atau asli; biasa sahaja sebagaimana yang sering kali kedapatan.

Pelajar jahil tentang jenis pendahuluan yang perlu diterapkan selaras dengan jenis karangan. Dengan erti kata lain, calon SPM gagal untuk menarik hati pemeriksa kerana kebanyakannya stereotaip sehingga membosankan pemeriksa. Ingat, seseorang pemeriksa perlu memeriksa ratusan skrip jawapan. Jadi, anda perlu menampilkan pendahuluan yang unggul, yakni menonjol dan melebihi yang lain. Yang mustahak, pendahuluan haruslah memenuhi cita rasa pemeriksa, yakni menepati skema pemarkahan, bukannya mengikut cita rasa sendiri.

Dalam penulisan ini, pendahuluan jenis pendapat tokoh dipaparkan untuk dijadikan tunjuk ajar dan seterusnya meningkatkan mutu penulisan. Dalam pendahuluan jenis ini, pendapat tokoh berkaitan dengan tajuk perbincangan ditampilkan. Tokoh yang dikemukakan itu hendaklah dikenali dan dihormati. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, iaitu dalam pengikat kata. Pendapat ini tidak semestinya yang sahih. Anda boleh mereka cipta pendapat itu dan memaparkannya sebagai pendapat tokoh.

Sesuatu pendahuluan perlu mempunyai 3 elemen, yakni tajuk perbincangan, huraian tajuk, dan fokus/skop perbincangan. Ketiga-tiga unsur ini hendaklah dipaparkan dalam 3 jenis ayat, yakni ayat rangsangan (AR), ayat huraian (AH), dan ayat arahan (AA).

Tajuk karangan: Permainan tradisional

Fokus karangan : Langkah-langkah menghidupkan permainan tradisional semula

Format karangan: Tiada

TAJUK KARANGAN: BUDAYA LEPAK
FOKUS KARANGAN: KESAN-KESAN NEGATIF
FORMAT KARANGAN: CERAMAH / SYARAHAN

KARANGAN CONTOH GRED A+

1.0 CONTOH KATA ALU-ALUAN
[Ayat Format]
Selamat pagi dan salam sejahtera. Yang Mula Tuan Pengeusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, Encik Daim bin Ahmad Azizul, guru-guru, serta para pelajar yang saya hormati sekalian.
[Ayat Format] Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan syukur kepada Tuhan kerana mempertemukan kami dalam majlis ini serta ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi saya peluang untuk menyampaikan ceramah pada pagi ini. [Ayat Format] Tajuk ceramah saya pada pagi yang mula ini ialah “Budaya Lepak Tidak Mendatangkan Sebarang Faedah”.

2.0 CONTOH PENDAHULUAN
[Ayat Rangsangan] Dewasa ini, (bukan Maracapada / Mutakhir ini) isu budaya lepak tak lekang di bibir masyarakat kita. [Ayat Huraian] Kita sering melihat golongan pelajar berpelesiran dan melepak di gedung beli-belah, di kaki lima kedai, di tepi jalan, dan sebagainya sama ada pulang dari sekolah, ponteng sekolah, selepas kegiatan kokurikulum atau selepas kelas tuisyen. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, lebih daripada 500 orang pelajar dilaporkan membolos (=ponteng sekolah) dan melepak di pusat-pusat beli-belah saban hari. [Ayat Huraian] Senario ini bukan sahaja menyebabkan ibu bapa seperti cacing kepanasan bahkan mencemaskan pihak kerajaan kerana menjejaskan masa depan generasi muda dan negara. [Ayat Arahan] Hal ini tidak harus dipandang enteng kerana gejala lepak mendatangkan dampak (=impak/kesan) negatif kepada remaja, masyarakat, dan negara.

3.0 CONTOH PERENGAN ISI DEDUKTIF
Hadirin yang saya hormati,
[Ayat Topik] Gejala lepak dalam kalangan remaja, tidak dapat dinafikan, membazirkan masa mereka. [Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Mengapa tidak? Ada yang menjadi kutu embun, yakni melepak sehingga kokok ayam pertama berkumandang. Mereka langsung tidak mengacuhkan kepentingan masa; langsung tidak menghargai waktu; dan langsung tidak menghayati “masa itu emas”. Mereka berlagak seolah-olah tidak ada kerja rumah yang perlu dibereskan ataupun tiada ulang kaji pelajaran secara konsisten yang perlu dilakukan demi menempuh ujian bulanan ataupun ujian semester. Apabila ketinggalan dalam pelajaran, mereka menudingkan jari ke arah pihak sekolah seolah-olah pihak sekolah mengabaikan tanggungjawab. Mereka merungut bahawa sistem pelajaran kita terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga ‘mendesak’ Kementerian Pelajaran memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, budaya lepak bukan sahaja membuang masa bahkan menjejaskan pelajaran remaja.

4.0 CONTOH PERENGAN ISI INDUKTIF
Hadirin yang saya muliakan,
[Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Akhir-akhir ini, masalah sosial yang membabitkan pelajar ataupun remaja kian berleluasa dalam mayarakat kita. Kes-kes pembuangan bayi, pencabulan maruah anak gadis, pergaulan bebas, perlakuan samseng, dan sebagainya sering dipaparkan dalam media cetak mahupun media elektronik dewasa ini. Kata orang tua-tua, “Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang”. Bagi saya, masalah sosial yang kian menjadi-jadi ini berkait rapat dengan gejala lepak kerana kemelut sosial berpokok pangkal daripada pengaruh rakan sebaya yang berkelakuan liar dan bobrok akhlak. Kata-kata seorang pakar motivasi yang tersohor, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, masih segar dalam minda saya. Katanya, jika kita berjinak-jinak dengan si penjual minyak wangi, maka harumlah badan kita; jika kita berjinak-jinak dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengena badan kita. Kata-kata beliau itu memang berpijak di bumi nyata. Gejala mat rempit ataupun samseng jalanan memang bertitik tolak daripada pergaulan secara beramai-ramai. Mereka bukan sahaja terbabit dalam perlumbaan haram bahkan terjermurus dalam kemungkaran, seperti penagihan dadah, perjudian, dan pelacuran. [Ayat Topik] Dengan erti kata lain, gejala lepak menjadi pokok pangkal masalah sosial yang serius di negara kita.

5.0 CONTOH PERENGAN ISI DEDUKTIF-INDUKTIF
Hadirin yang saya muliakan,
[Ayat Topik] Selain kemelut sosial, gejala lepak mencemari imej negara di mata dunia. [Ayat Pengembangan: Huraian + Contoh] Melepak secara beramai-ramai di tempat tumpuan orang ramai, seperti di kompleks beli-belah, bukan sahaja memberikan suatu pandangan yang negatif bahkan mencolok mata orang yang memandang. Para pelancong asing, misalnya, akan beranggapan bahawa generasi muda kita seperti sampah masyarakat dan tidak bertamadun. Hal ini demikian kerana gelagat remaja yang melepak, merokok, menghidu gam, berpelesiran, bergelandangan, berfoya-foya, mengganggu ketenteraman awam, mengadang laluan, bermain gitar, menconteng, melaku musnah dan sebagainya dalam khalayak ramai sudah pasti akan mencemari imej negara kita. Dalam usaha mereaslisaikan Wawasan 2020 dan Konsep 1Malaysia, generasi muda kita berkelakuan kurang ajar ataupun biadab. Implikasinya, sektor pelancongan kita sudah tentu menerima tempiasnya. Ingat, alaf ini zaman siber! Apa-apa yang dirakamkan dengan alat perakam video, kamera digital ataupun telefon bimbit dapat dimuat naik dalam alam siber sama ada melalui Youtube ataupun melalui Facebook. [Ayat Topik] Dengan kata-kata lain, bukan sekadar imej negara akan tercemar bahkan industri pelancongan akan terjejas gara-gara budaya lepak.

6.0 CONTOH PERENGAN INTIHA
Hadirin yang saya kasihi,
[Ayat Kesimpulan] Sebelum saya menutup tirai, saya ingin menegaskan bahawa gejala lepak menggelapkan hari muka generasi muda, mengganggu gugat keharmonian masyarakat, dan menghancurkan kemakmuran negara. [Ayat Cadangan] Selaku remaja yang berhemah, kita sewajarya mengetahui tanggungjawab kita kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa serta negara. Manfaatkanlah masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang sihat seperti membaca, beriadah, berekreasi dan melancong, beribadat, beramal dan bukannya dengan aktiviti-aktiviti yang mengundang musibah, terutamanya lepak, ponteng sekolah, menghidu gam, dan sebagainya. Janganlah menjadi hamba kepada hawa nafsu kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Dan, usalah terhantuk baru tengadah! Jadilah generasi yang berhemah, berwawasan, berpelajaran, bertanggungjawab, dan berpatriotik. [Ayat Harapan] Dengan ini, akan lahirlah modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta pelapis pemimpin negara yang berwibawa dan berterampilan sekali gus kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di persada antarabangsa.
[Ayat Format] Sekian, terima kasih.

Ditulis dan disumbangkan oleh Cikgu Merezukhi bin Azizul Rahman
Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com
Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya.

TAJUK KARANGAN: PONTENG SEKOLAH
FOKUS KARANGAN: PUNCA/FAKTOR/PENYEBAB
FORMAT KARANGAN: PERBINCANGAN/PENDAPAT

KARANGAN CONTOH GRED A+

1.0 PENDAHULUAN
[Ayat Rangsangan] Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, kes ponteng sekolah tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. [Ayat Huraian] Menurut beliau, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai pokok pangkal fenomena ini. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Apakah kepincangan sistem pendidikan kita? Adakah pihak ibu bapa lepas tangan dalam soal pendidikan? Atau, adakah gejala ini berpangkal daripada pengaruh rakan sebaya? Gejala ini dipandang berat kerana perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran, dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah penentu-penentu perdana yang menyumbang kepada gejala ponteng sekolah atau bolos yang kian meruncing dalam kalangan pelajar kita ini?

2.0 ISI-ISI PENTING
Faktor 1: Senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif
[Ayat Topik] Antara penyumbang utama kepada gejala ponteng sekolah ialah senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif. [Ayat Huraian] Rumah tangga yang porak-peranda ataupun institusi keluarga yang retak gara-gara perceraian ataupun tiadanya persefahaman antara ibu dengan bapa menyebabkan pelajaran anak terabai. Oleh sebab konflik dan tekanan jiwa, mereka langsung tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka. Implikasinya, baik kerja-kerja rumah mahupun ulang kaji pelajaran tidak dipedulikan sehingga tercicir dalam pelajaran. Apabila terkandas dalam pelajaran, mereka akan memencilkan diri dan berjinak-jinak dengan rakan sebaya yang menghadapi masalah yang sama. [Ayat Contoh] Menurut Dr. Ting Chew Peh, segelintir pelajar yang membolos sekolah berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Beliau mengatakan bahawa kepincangan keluarga mempengaruhi pencapaian akademik kerana ibu bapa bersikap acuh tak acuh terhadap prestasi akademik anak-anak mereka. Implikasinya, kecenderungan mereka terhadap pelajaran terbantut sekali gus mencari jalan keluar untuk menangani kemelut itu dengan ponteng sekolah. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, kepincangan rumah tangga menjejaskan akademik anak sekali gus mendorong mereka ponteng sekolah.

Faktor 2: Pengaruh rakan sebaya
[Ayat Topik] Pengaruh rakan sebaya yang menyumbang kepada berleluasnya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar tidak dapat dinafikan. [Ayat Huraian] Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka; kawan yang baik boleh membimbing mereka ke arah kebaikan, namun jika tersilap langkah dalam memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk, terutamanya ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana remaja yang umur setahun jagung, darah setampuk pinang terlalu mudah mempercayai rakan sebaya dan tidak dapat membezakan intan daripada kaca. [Ayat Contoh] Menurut Prof. Dr. Fatimah Yusoff, seandainya mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan kononnya lebih memahami perasaan mereka, dengan mudah mereka mengikut mereka ponteng sekolah dan melepak di pusat beli-belah dan sebagainya. Mereka terlupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. [Ayat Penyimpul] Tegasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan pokok pangkal berleluasanya gejala ponteng sekolah.

Faktor 3: Kepincangan sistem pendidikan
[Ayat Topik] Selain masalah peribadi dan pengaruh rakan sebaya, kepincangan sistem pendidikan turut mencetuskan masalah ponteng sekolah. [Ayat Huraian] Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan para pelajar, khususnya pelajar lembap dalam pelajaran, berasa tertekan. [Ayat Contoh] Misalnya, isi kandungan sukatan pelajaran, iaitu mata pelajaran yang ‘mendesak’ pelajar supaya menghafaz fakta-fakta sejarah, geografi, pendidikan moral dan sebagainya. Mereka pun hilang kecenderungan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Implikasinya, mereka yang lemah semangat dan keimanan mudah berputus asa akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih tekun dan cerdas. Buktinya, kes ponteng banyak membabitkan pelajar yang lemah berbanding dengan pelajar yang cerdas. Mereka pun bertindak untuk ponteng sekolah bersama-sama dengan rakan kerana tertinggal atau tercicir dalam bidang akademik. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, gejala ponteng sekolah bertitik tolak daripada kelemahan sistem pendidikan kita.

3.0 INTIHA
[Ayat Kesimpulan] Intihanya, masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor keluarga, rakan sebaya, dan sekolah. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Unit Bimbingan dan Kaunseling haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha mencelikkan mata para pelajar bahawa gejala ponteng sekolah merupakan titik tolak kepada gejala-gejala sosial seperti merokok, arak, seks bebas, laku musnah, dadah, budaya samseng, dan sebagainya. Pihak kerajaan haruslah merombak sistem pendidikan, bukannya memansuhkan peperiksaan awam, agar tidak terlalu ‘mendera’ para pelajar dari segi mental dan emosi. [Ayat Harapan] Dengan wujudnya kerjasama ini, bukan sahaja kita dapat mencapai ‘ponteng sifar’ bahkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan agar dapat bersaing di persada antarabangsa.

Ditulis dan disumbangkan oleh Cikgu Shahidan bin Mansor
Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com
Jika hendak memetik karangan ini untuk tujuan P&P, sila nyatakan sumbernya.

Comments (22)