Monthly Archives: May 2010

Kajian Novel

Salam 1Malaysia.

Adakah anda sudah mengorak langkah untuk menempuh BMSPM? Masih awal lagi? Awas,  sediakanlah payung sebelum hujan! Janganlah terhantuk baru tengadah!

Hal ini demikian kerana banyak calon SPM yang jahil akan teknik menjawab aspek KAJIAN NOVEL. Jawapan calon tersasar jauh daripada skema pemarkahan. Dengan erti kata lain, jawapan calon langsung tidak menepati skema pemarkahan.

Demi membantu anda mencapai A+ dalam BMSPM, petunjuk menjawab berpandukan skema pemarkahan telah cikgu paparkan. Terapkanlah strategi menjawab ini dalam ulang kaji anda. Usahlah bersikap laksana pohon kayu tidak berbuah!

CONTOH:

  • Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan amalan nilai bertimbang rasa.

[8 markah]

SKEMA PEMARKAHAN

  • Markah isi ialah 6 (3 x 2), maka anda perlu menyatakan 3 peristiwa nilai bertimbangan rasa serta huriaan/contoh. Markah bahasa pula 2.

TEKNIK MENJAWAB:

  • [Ayat pernyataan] ……………………………………………………………………

……………………………………. [Ayat huraian/contoh] ………………………………..

……………………………………………………………………………………………………….

[2 markah]

CONTOH JAWAPAN BERPANDUKAN SKEMA PEMARKAHAN

  • Berdasarkan novel Perlumbaan Kedua, terdapat nilai bertambang rasa menawarkan bantuan dalam kalangan masyarakat. Tamsilnya, Sang Gajah yang kasihan melihat Tuk Kura lambat bergerak gara-gara usianya lanjut telah menawarkan bantuan kepada Tuk Kura demi menjinjingnya ke kemuncak bukit ketika meninjau kawasan perlumbaan kedua. [2 markah]

KEPINCANGAN JAWAPAN PELAJAR

  • Ketika Tuk Kura mendaki bukit untuk meninjau tempat perlumbaan, Sang Gajah yang bertimbang rasa telah menawarkan diri untuk membantu Tuk Kura mendaki bukit. Tetapi, Tuk Kura menolak tawaran Sang Gajah itu.  [0 markah]

PERHATIAN:

  1. Jika jawapan anda berbentuk huraian/contoh, markah isi tidak akan diberikan.
  2. Jika pernyataan dan huraian/contoh bercampur aduk dalam satu ayat, markah tetap tidak akan diberikan.

  • Rata-rata calon SPM jahil tentang teknik menjawab seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa (skema pemarkahan). Mereka mengamalkan ‘gaya bebas’; ada yang menggunakan gaya rama-rama, gaya katak, dll.  Dengan erti kata lain, didapati penguasaan terhadap cara mengorganisasikan idea masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Pelajar cenderung untuk mencampuradukkan isi dengan huraian. Mengapakah senario ini berlaku?
  • Pertama, sikap sambalewa; pelajar tidak berprakarsa untuk menguasai kemahiran menjawab. Kedua, sikap memandang enteng; pelajar lazimnya memandang remeh tentang teknik menjawab. Ketiga, kurangnya pendedahan; teknik menjawab yang menjurus kepada skema pemarkahan kurang didedahkan.
  • Jadi, saya mengambil inisitif ini untuk memberikan petua/panduan menjawab yang sebaik-baiknya, yakni menepati skema pemarkahan, bukan mengikuti emosi kerana buruk padahnya; ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Misalnya:

ARAS SOALAN KBKK/KBSB: Kebijaksanaan menyelesaikan masalah merupakan salah satu persoalan yang sering dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel.

Jelaskan dua persoalan kebijaksanaan dalam sebuah novel yang anda pelajari.                                                                                                                      [7 markah]

  • Pelajar perlu menyatakan terlebih dahulu isi atau idea umum sebelum diiringi dengan huraian peristiwa daripada novel. Isi yang dikemukakan mestilah dibataskan kepada tugasan soalan, iaitu “kebijaksanaan…” yang cuba dipaparkan oleh pengarang.

Isi untuk “Perlumbaan Kedua” sebagai contoh:

  • Kebijaksanaan menyelesaikan masalah kekurangan fizikal
  • Kebijaksanaan mengelirukan musuh / memperdayakan pihak lawan

Isi untuk “Julia”, antara lain:

  • Kebijaksanaan menyelesaikan masalah keluarga
  • Kebijaksanaan menyelesaikan masalah perniagaan
  • Isi biarkan umum sahaja tanpa watak, tempat atau peristiwa yang khusus. Sebaik-baiknya penyataan isi dibuat dalam ayat yang tersendiri. Huraian isi hendaklah ditulis secara ringkas dengan memasukkan watak yang berkenaan, perlakuan dalam peristiwa yang menyokong isi yang dikemukakan.

CONTOH JAWAPAN:

Dalam novel Julia, persoalan kebijaksanaan menyelesaikan masalah perniagaan dikemukakan oleh pengarang. Julia telah berjaya menghadapi muslihat Encik Baharom yang berniat menjual BMPRO Transport kepada Dato’ Khor. Soalan-soalan Julia menyebabkan Encik Baharom terkedu.

Sekian, selamat maju jaya …

SUMBER: CIKGU AZHAR RODZI