Monthly Archives: April 2010

Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

Para pelajar yang dikasihi,

Sediakanlah payung sebelum hujan! Dengan erti kata lain, jika para pelajar mengidamkan A+ untuk BMSPM, maka persiapan yang awal untuk menempuh peperiksaan mesti dimulakan dari sekarang juga lantaran “masa itu emas”.

Berdasarkan pengalaman saya, calon-calon SPM bukan sahaja jahil tentang teknik mengarang karangan yang mantap bahkan membuang masa semasa mengarang. Hal ini demikian kerana anda tidak didedahkan dengan teknik-teknik mengarang yang efektif.

Maka, saya berprakarsa untuk membantu anda mempersiapkan diri dalam menghadapi KERTAS 1 BMSPM 2010. Saya akan mendedahkan kaedah menulis karangan secara efektif dan kreatif selaras dengan keperluan skema pemarkahan BMSPM.

Seperkara lagi, janganlah menjadi hamba kepada hawa nafsu kerana “ikut hati mati, ikut rasa binasa”!. Para pemeriksa tidak menghargai karangan yang menggunakan bahasa yang berbunga-bunga mahupun kosa kata yang ‘bombastik’. Amalkanlah kesederhanaan!

GRED CEMERLANG (26 – 30 markah)

  • Isi karangan menepati tema bahan rangsangan;
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat;
  • Penggunaan tanda baca yang betul dan tepat;
  • Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru;
  • Penggunaan kosa kata yang luas dan tepat.
  • Wacananya lengkap;
  • Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik; dan
  • Idea yang relevan dengan tema bahan rangsangan dann dihuraikan dengan jelas dan matang.

CONTOH SOALAN

Strategi pertama dalam penulisan karangan ialah pentafsiran bahan rangsangan, yakni kata kunci, tajuk karangan, fokus/skop karangan, dan kepanjangan karangan.

Strategi kedua ialah menulis introduksi/pendahuluan yang mantap. Pendahuluan perlu mempunyai 3 elemen: ayat rangsangan, iaitu ayat yang mengungkapkan tajuk karangan; ayat huraian, iaitu ayat yang menghuraikan tajuk karangan; dan ayat arahan, iaitu ayat yang menyatakan fokus/skop karangan.

Misalnya:

Dalam pembinaan apa-apa jua jenis pendahuluan, ketiga-tiga jenis ayat – Ayat Rangsangan (AR), Ayat Huraian (AH), dan Ayat Arahan (AA) menjadi satu kelaziman/kemestian.

Misalnya:

Strategi ketiga ialah pembinaan perenggan isi yang efektif dan kreatif. Terdapat 3 jenis perenggan isi – deduktif, induktif, dan deduktif-induktif.

Lazimnya, perenggan isi jenis deduktiflah yang dimanfaatkan kerana mudah dan efektif, yakni:

Deduktif = Idea  +  Huraian  +  Contoh  + Kesimpulan

Dengan kata lain, binaan perenggan isi ini terdiri daripada 4 jenis ayat, yakni ayat topik/judul (menyatakan idea/isi)  +  ayat huraian (menghuraikan idea)  +  ayat contoh (menyatakan contoh/bukti)  +  ayat penyimpul (membuat kesimpulan).

KOMEN: Perenggan isi bukan sekadar menepati tajuk dan fokus karangan bahkan gaya bahasanya mudah difahami. Hal inilah yang memenuhi ‘cita rasa’ pemeriksa, yakni menepati skema pemarkahan. Tegasnya, sajian ini bukan sahaja menyelerakan malah memberikan kepuasan kepada pemeriksa!

Strategi keempat dan terakhir ialah pelajar perlu mengakhiri karangan dengan suatu rumusan/ kesimpulan yang mantap. Ketika membuat kesimpulan, usahlah terbawa-bawa oleh hawa nafsu yang mencemari keseluruhan karangan.

Perenggan penutup/intiha ini perlu mempunyai 3 ciri utama, yakni kesimpulan, cadangan, dan harapan.  Seperkara lagi, perenggan penutup perlu terdiri daripada 3 jenis ayat: ayat kesimpulan (AKspn), ayat cadangan (ACdgn), dan ayat harapan (AHrpn).

Misalnya:

Paparan strategi mengarang telah saya bentangkan. Kini, agenda utama anda ialah penerapan kaedah penulisan ini dalam karangan anda.  Akhir kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan! Sekian.

Analisis Soalan

Format karangan:          Tiada

Tajuk karangan:            Amalan berjimat cermat

Fokus karangan:           Kebaikan-kebaikan/Faedah-faedah/kepentingan-kepentingan

Strategi Pertama: Membina pendahuluan

Pendahuluan     = Tajuk karangan  +  Huraian tajuk  + Fokus karangan

= Ayat rangsangan (AR)  +  Ayat huraian (AH)  +  Ayat Arahan (AA)

= 50 – 60 patah perkataan

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT TOKOH

[AR] Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. [AH1] Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. [AH2] Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. [AA] Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita.

Strategi Kedua: Membina Perenggan Isi

Perenggan isi    = Idea karangan  +  Huraian idea +  Contoh  +  Kesimpulan

= Ayat topik (AT)  +  Ayat huraian (AH)  +  Ayat contoh (AC)  +  Ayat penyimpul (AP)

= 50 – 60 patah perkataan

[AT] Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. [AH1] Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. [AH2] Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. [AC] Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. [AP] Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin.

[AT] Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. [AH1] Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. [AH2] Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan. [AC] Menurut Dato’ Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. [AP] Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.

[AT] Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari. [AH] Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. [AC] Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. [AH] Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.

Strategi Ketiga: Membina Perenggan Intiha

Perenggan isi    = Kesimpulan karangan  + Cadangan/Pandangan  + Harapan/Kesan

= Ayat kesimpulan(Aksmpln) +  Ayat cadangan (Acdgn)  +  Ayat harapan (Ahrpn)                               = 50 – 60 patah perkataan

[Akspln] Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit! [Acdgn] Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sakit; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. [Ahrpn1] Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. [Ahrpn2]Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta!

CONTOH KARANGAN

Tajuk karangan: Kemalangan Jalan Raya

Fokus karangan: Punca-puncanya

Genre Prosa Klasik dalam KOMSAS

Salam 1Malaysia,

Selaku munsyi bahasa yang prihatin, saya berasa agak kecewa dengan sikap para pelajar yang meminggirkan KOMSAS, khususnya genre prosa klasik. Ramai yang mengomel bahawa genre prosa klasik ini memang sukar difahami kerana penuh dengan kata dan frasa yang pelik-pelik. Persoalannya, adakah anda telah benar-benar berusaha untuk menghayati genre klasik ini ataupun hanya helah dan dalih untuk melepaskan tanggungjawab, bak kata pepatah Melayu “kambing di parak panjang janggutnya, hati enggan banyak jawabnya”.

Yang  perlu anda lakukan ialah hanya membaca seluruh teks asal dan memahami ceritanya sahaja. Anda tidak perlu menghafaz seluruh cerita mahupun membaca aspek-aspek KOMSAS – tema, persoalan, watak dan perwatakan, nilai, pengajaran, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana aspek-aspek KOMSAS tidak ditanyakan dalam BMSPM. Lebih-lebih lagi, anda hanya perlu fokus kepada cerita yang penting berdasarkan analisis yang dibuat.

Tamsilnya, salah satu cerita yang perlu diberi perhatian ialah:

Berdasarkan format terkini BMSPM, terdapat 3 jenis soalan, yakni soalan memberikan maksud frasa/rangkai kata, soalan kontekstual (berdasarkan pemahaman teks yang diberikan), dan soalan KBKK (jawapan berdasarkan pemikiran secara kreatif dan kritis).

CONTOH SOALAN SPM TERKINI (Sila klik)

SKEMA PEMARKAHAN

SKEMA PEMARKAHAN

  1. Gunakanlah ayat sendiri;
  2. Binalah ayat  yang sempurna / lengkap; jika tidak 1/2 markah dipotong;
  3. Jika disalin bulat-bulat (copy-and-paste) daripada teks dan jawapan itu tepat / betul, hanya separuh ( 50% ) markah akan diberikan;
  4. ½ markah akan dipotong untuk kesalahan bahasa / ejaan.

PERTARUNGAN TUAH DENGAN JEBAT

MAKNA RANGKAI KATA

  1. Apatah kita perbantahkan? Kita lihat sekarang siapa mati siapa hidup…” ms 34 P1 = Mengapakah kita berdebat/bertelagah?
  2. “…bunyi rebana terlalu ramai… ” ms 34 P2 = Terlalu riuh-rendah/kuat
  3. “… rebana kecil juga bunyinya mengulit si Jebat tidur…”  ms 34 P2 = Suara rebana kecil mendodoikan/ mendondong Jebat yang lelap/lena
  4. “…Laksamana pun melihat waktu dan edaran. Setelah sudah sampai ketikanya maka…”  ms 34  P2 = Memerhatikan waktu yang sesuai dan perubahan keadaan
  5. “… Jebat pun menghunus kerisnya lalu dikilirnya.”  ms 35 P2 = Mengeluarkan keris daripada sarung lantas diasahnya.
  6. “Hai Si Jebat! Tersalahlah citamu itu. Adapun pekerjaanmu derhaka…” ms 36 P2 = Hajat/hasratmu itu tidak betul.
  7. “Sekalian itu dengan kehendaknya juga; tiada kuasaku perbuat itu, supaya namaku masyhur pada segala negeri.” ms 36 = Aku tidak berhajat berbuat perkara itu untuk menjadi terkenal di seluruh negeri.
  8. “… Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti perumpamaan Melayu rosak bawang ditimpa jambaknya.”  ms 37 P = Jika melakukan seuatu yang buruk/tidak baik, lakukanlah betul-betul sampai kesudahannya (jangan setengah-setengah) sebagaimana pepatah Melayu yang bermaksud rosak oleh kesalahan kaum atau diri sendiri
  9. “”… Hang Jebat pun makan nikmat pada persantapan raja itu.”  ms 37 P 3 = Menjamu selera dengan makanan yang lazat-lazat pada hidangan raja itu.
  10. “Silakanlah naik kerana ayapan sudah hadir.” ms 37 P3 = Hidangan telah ada/sedia
  11. “… menyingsing tangan bajunya seraya memekis,…”  ms 37 P3 = Sambil mengeluarkan kata-kata kesat (yang menyakitkan hati)
  12. “Si Jebat orang yang tiada teguh setianya!”   ms 38  P1 = Tidak kuat taatnya
  13. “Maka disalahkannya sedikit tikam Hang Jebat;…”   ms 38  P3 = Dielakkannya sedikit tusukan
  14. “Maka dilihat oleh Laksamana Si Jebat berupa lelah.”  ms 39 P1 = Kelihatan penat
  15. Matanya seperti helang hendak menyambar, tangannya tiada lepas daripada hulu kerisnya, digamak-gamaknya.”  ms 40
  16. “… dan jasamu lagi dibunuhnya oleh raja, istimewa aku pula.” ms 41 P2 = Apa lagilah aku
  17. Sungguh barang katamu itu, tetapi akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat, seperti kata orang tua-tua: Baik mati dengan nama baik, jangan hidup dengan nama jahat, supaya masuk syurga jemah.” ms 41-42 P2= Benar apa-apa yang engkau katakan itu tetapi kita sebagai hamba raja perlu berfikir masak-masak dalam melaksanakan sesuatu tugasan, seperti kata orang tua-tua, lebih baik kita mati dan dikenang sebagai orang yang baik daripada hidup dengan tingkah laku yang buruk agar kita dapat masuk ke syurga di akhirat nanti.
  18. ” …tetapi Si Jebat  tiada memberi air muka sahabatnya binasa…” ms 42 P1 = Tidak akan membiarkan maruah/ nama baik rakannya rosak/jatuh
  19. Membuangkan engkau = Membunuh awak
  20. “…supaya aku bangat mati dengan senjata…”  ms 45  P2 = Segera menemui ajal